PAS terus mendesak supaya satu suruhanjaya diraja dibentuk untuk menyiasat dakwaan oleh pemimpin parti itu bahawa kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk memberi kerakyatan kepada warga asing untuk dijadikan pengundi.

Ketua penerangan parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan itu terbukti benar sekiranya kerajaan gagal membentuk suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan oleh MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar itu.

Dalam kenyataannya hari ini Tuan Ibrahim berkata kesediaan Mahfuz untuk memberi segala maklumat kepada suruhanjaya diraja itu merupakan tindakan berani untuk mendedahkan isu berkenaan.

"Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang," katanya.

Tambahnya, beliau juga kecewa kerana NGO dan media arus perdana tidak melaporkan isu berkenaan.

Mahfuz yang dipetik oleh organ rasmi PAS Harakahdaily pada 4 April lalu menamakan anggota bahawa jawatankuasa khas itu dianggota seorang pembantu kepada perdana menteri, pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang merupakan salah seorang daripada individu dalam pasukan tersebut, yang dinamakan Mahfuz.

Wan Ahmad juga berkata kenyataan Mahfuz itu merupakan "cerita karut" yang direka, bertujuan untuk "merosakkan integriti SPR".