Peserta PLKN rajin sembahyang selepas kejadian histeria
Semua peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem PDS Resort Port Dickson kini tidak lagi ponteng sembahyang selepas dua kejadian peserta di situ diserang histeria pada malam Ahad dan Isnin lalu.
Semua peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem PDS Resort Port Dickson kini tidak lagi ponteng sembahyang selepas dua kejadian peserta di situ diserang histeria pada malam Ahad dan Isnin lalu.
"Semua peserta LPKM di kem ini rajin sembahyang selepas berlakunya kejadian yang aneh itu," kata seorang pekerja di situ.
Dalam kejadian tersebut, 14 pelajar perempuan dan tiga pelajar lelaki tiba-tiba menjerit seperti serigala pada kira-kira jam 10.15 malam Ahad lalu.
Kejadian yang sama berulang lagi pada pagi dan petang keesokannya, yang membabitkan sebelas lagi peserta PLKN di kem tersebut.
Pekerja tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu malaysiakini bahawa sehingga hari ini keadaan di kem tersebut kembali pulih seperti sediakala.
Menurutnya lagi, beberapa orang kampung yang mendapat tahu mengenai kejadian histeria itu telah datang secara sukarela bagi membantu 'menghalau makhluk' yang mengganggu peserta di kem tersebut.
"Mereka datang memberi bantuan dengan membaca Surah Yasin bagi melindungi peserta di kem tersebut daripada sebarang gangguan," tambahnya.
Beliau bagaimanapun berkata, setahunya, pihak kem LPKN di situ tidak pernah menggaji sebarang bomoh untuk datang menghapuskan gangguan di situ.
Lemah semangat
Ditanya sama ada peserta memohon pulang ke rumah selepas kejadian tersebut, beliau berkata seorang peserta keturunan Cina memohon cuti dan telah dibawa pulang oleh keluarganya kerana lemah semangat.
"Peserta tersebut bukan mangsa kejadian histeria itu tetapi dia takut tinggal di kem itu selepas mendapat tahu mengenai kejadian tersebut," katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, para peserta lain akan terus mengikuti program latihan khidmat negara itu sehingga selesai.
Beliau juga berharap agar pihak media tidak melaporkan kejadian tersebut secara keterlaluan kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan ibubapa yang tinggal berjauhan.
Bagaimanapun, katanya, selepas kejadian tersebut peserta yang tidak berminat untuk bersembahyang sebelum ini, kini sudah rajin berbuat demikian.
"Bagi peserta bukan Islam pula, kami membawa bersembahyang mengikut agama masing-masing di tokong bagi membantu menguatkan semula semangat mereka.
"Mereka kini semakin rajin dalam memenuhi tuntutan agama masing-masing. Ini merupakan satu perkara yang baik." katanya.

