Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 200 orang berhimpun di Melaka hari ini untuk membantah keputusan kerajaan membenarkan pembinaan loji memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan.

Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat Melaka itu antara lainnya disertai pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San yang berkata loji berkenaan belum cukup selamat, terutama kepada 20,000 penduduk di sekitar Gebeng.

"Pada hari ini kita bersama-sama semua rakyat di negara ini melahirkan bantahan kita terhadap keputusan kerajaan untuk membenarkan pembinaan Kilang Pemprosesan Nadir Bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

"Kilang ini akan memproses bahan radioaktif dari Mount Weld, Australia dan mereka mahu jadi negara kita sebagai tong sampah bagi radioaktif," kata ADUN kawasan Bachang itu ketika berucap dalam perhimpunan selama kira-kira 15 minit itu.

NONE Perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat di hadapan kampus Open University Malaysia, Bukit Palah itu turut disertai pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari yang menjelaskan perhimpunan berkenaan bertujuan menyedarkan rakyat akan keburukan pembinaan kilang berkenaan sekiranya diteruskan.

"Sekiranya kilang ini selamat mengapa mereka tidak bina sahaja kilang ini di Australia yang 55 kali ganda luasnya daripada negara kita. Oleh kerana mereka tahu kilang ini bahayalah mereka mahu bina di negara kita.

"Kita kesal, atas faktor keuntungan mereka sanggup memperjudikan nasib anak cucu kita. Kita mahu masyarakat sedar bahawa kilang ini mendatangkan kesan buruk yang panjang kepada generasi akan datang. Justeru, kita membantah sehingga kerajaan tutup kilang ini.

"Kita tengok Bukit Merah sudah jadi kawasan larangan. Tidak mustahil akan berlaku di Gebeng. Ini bukan isu politik ini soal masa depan  anak cucu kita," katanya lagi ketika turut berucap dalam perhimpunan itu.

Kenyataannya itu adalah berhubung sebuah loji memproses nadir bumi sama, Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Perak telah ditutup pada 1994 selepas bantahan selama kira-kira satu dekad.

Radiasi nadir bumi itu dikaitkan dengan peningkatan yang mendadak dalam kecacatan bayi yang dilahirkan penduduk setempat dan juga bilangan kanak-kanak yang menderita akibat leukemia.

Mitsubishi Chemicals masih dalam proses membersihkan sisa yang ditinggalkan oleh kilang itu.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bagaimanapun sebelum ini berkata radiasi di loji ARE itu – kira-kira empat kali ganda lebih tinggi daripada tahap purata negara – selamat dan bukan disebabkan oleh ARE.

Turut hadir dalam perhimpunan hari ini ialah timbalan pengerusi PKR Melaka, Rahim Ali serta wakil daripada Dewan Perhimpunan Cina Melaka dan Solidariti Anak Muda Malaysia.

ADS