Arahan patung dibuat tanpa kelulusan kerajaan negeri
Majlis Perbadanan Kota Bharu (MPKB) telah membatalkan arahan melarang premis perniagaan di sekitar bandar itu daripada menggunakan patung untuk mempamerkan pakaian jualan mereka.
Majlis Perbadanan Kota Bharu (MPKB) telah membatalkan arahan melarang premis perniagaan di sekitar bandar itu daripada menggunakan patung untuk mempamerkan pakaian jualan mereka.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Anuar Tan yang bertanggungjawab bagi portfolio Kebudayaan dan Pelancongan negeri, berkata, ini kerana larangan itu dibuat tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Arahan tersebut juga mendapat bantahan para perniaga, terutama yang menjual pakaian dan mendapat laporan meluas dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina.
Surat arahan mengenai larangan tersebut telah diedarkan kepada para peniaga di sekitar bandar Kota Bharu tiga hari lalu.
Bagaimanapun, Anuar menafikan larangan tersebut juga meliputi penggunaan patung antik berbentuk dewa di kalangan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
"Berlaku masalah teknikal mengenai perkara tersebut. Pegawai MPKB terbabit telah mengedarkan surat arahan itu kepada para peniaga di sekitar Kota Bharu tanpa pengetahuan Yang Dipertuanya," katanya.
"Selepas menerima banyak aduan daripada para peniaga, maka larangan tersebut telah ditarik balik. Kini segala-galanya berjalan seperti sediakala," kata Anuar ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Persetujuan
Beliau juga menjelaskan sebarang dasar baru perlu mendapat persetujuan daripada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri terlebih dahulu, sebelum boleh dikuatkuasakan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Abdul Aziz Abdul Rahman juga mengakui berlaku salahfaham oleh pegawai berkenaan berhubung arahan tersebut.
"Majlis sepatutnya mendapat kebenaran pihak kerajaan negeri terlebih dahulu, pegawai berkenaan telah tersilap faham....jadi berlakulah masalah teknikal ini," tambahnya.
Menurutnya lagi, Bahagian Perlesenan MPKB sebelum ini telah membuat kajian dan mendapati ada kedai yang menggunakan patung itu sebagai hiasan secara keterlaluan dan secara tidak sopan.
Oleh itu, katanya, MPKB telah menghantar cadangan untuk melarang perbuatan seumpama itu kepada pihak kerajaan negeri dan masih menunggu maklum balas mengenainya.
Bagaimanapun, katanya, pegawai berkenaan telah bertindak menghantar surat mengenai larangan itu kepada 23 premis perniagaan di bandar Kota Bharu.

