Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majistret tolak permohonan reman siswa
Diterbitkan:  Apr 22, 2012 4:19 PM
Dikemaskini: 5:03 PM

Peguam Syahredzan Johan berkata polis tidak boleh menahan siswa Umar Mohd Azmi yang ditahan di tapak perkhemahan pelajar di Dataran Merdeka hari ini lebih daripada tempoh 24 jam.

Katanya, Mahkamah Majistret tidak membenarkan permohonan reman polis ke atas siswa berkenaan.

Ketika dihubungi Syahredzan yang mewakili pelajar berkenaan berkata majistret enggan memenuhi permintaan polis setelah melihat rakaman penahanan pelajar itu, pagi ini.

Tambahnya, Umar tidak perlu ditahan kerana proses mengambil kenyataan dan cap jari boleh dibuat tanpa menahan pelajar terbabit.

Umar kini dihantar semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Umar dan ditahan di balai berkenaan.

Sementara itu, aktivis Occupy Dataran Fahmi Reza pula dibebaskan dengan jaminan tanpa sebarang pertuduhan, kata Syahredzan lagi di Twitter .

Fahmi dan Umar kedua-duanya ditahan pagi ini dalam serbuan oleh polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) – pada perkhemahan kumpulan berkenaan yang masuk hari kelapan.

Kumpulan pelajar dan aktivis itu berkhemah di Dataran Merdeka bagi menuntut pendidikan tinggi percuma dan untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 14 April.

Aktivis dan siswa lain pada masa ini meneruskan perkhemahan mereka di Dataran walau kebanyakan barang keperluan mereka dirampas DBKL pagi ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan hari ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Fahmi, 35, disiasat mengikut Seksyen 40 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1975.

Umar pula disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan diminta hadir ke Mahkamah Jalan Duta pada 23 April, katanya lagi di laman Facebook .

[Baca berita penuh]

ADS