Stadium Hang Jebat,Tun Fatimah untuk aktiviti bantahan
Kerajaan Melaka akan mengazetkan dua stadium iaitu Stadium Tun Fatimah di Bandar Melaka dan Stadium Hang Jebat di Kerubong untuk sebarang aktiviti demonstrasi atau bantahan yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata perkara itu diputuskan oleh mesyurat Exco kerajaan negeri semalam sebagaimana menurut peraturan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.
"Sesiapapun dibenarkan mengadakan sebarang bantahan di kedua-dua tempat itu tetapi lakukan dengan kesopanan dan kesusilaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd di Alor Gajah hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak pengusaha industri makanan membuka kilang di negeri ini terutama di kawasan hab halal di Serkam, Jasin.
Sementara itu, Pengurus Besar (Operasi) kilang itu, Ng Teng Chai memberitahu pemberita Perfect Food yang mengeluarkan jenama biskut Julie's mula beroperasi sejak 1979 dengan 200 pekerja.
Beliau berkata pada tahun lepas, nilai jualan ialah sebanyak RM210 juta dan kilang itu kini mempunyai seramai 960 pekerja dan beroperasi 24 jam.
"Kami mengeksport produk kami yang mempunyai status halal ke lebih 60 buah negara termasuk ke negara-negara Arab dengan pasaran terbesar ke negara China," katanya.
- Bernama

