Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dermawan Islam berdepan cabaran untuk membangunkan sumbangan ekoran konflik berpanjangan dan ekstremisme yang menggambarkan kedudukan negatif mengenai Islam.

Berucap dalam ucapan dasar di Forum Penyumbang Dunia 2012 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata golongan dermawan Islam itu tidak terlepas daripada prasangka ekoran tekanan dan publisiti negatif tersebut, katanya.

Katanya, perkara itu menjejaskan penyumbang baharu daripada memberi sumbangan dan menyukarkan penyumbang sedia ada untuk terus beramal.

"Sudah sampai masanya untuk menilai cara kita memberi dan pada masa yang sama memudahkan usaha sama strategik dalam kalangan penyumbang yang berfikiran yang sama," katanya seperti dipetik Bernama .

Oleh yang demikian, beliau berharap supaya Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global memainkan peranan penting dalam memperkukuh toleransi, pesefahaman dan pada masa yang sama menggalakkan budaya menyumbang secara lebih meluas.

Dalam ucapannya itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana forum tersebut meneliti sistem zakat, awqaf dan mikrokredit Islamik sebagai mekanisme untuk meningkatkan derma dan pelaburan dalam dunia Islam.