Media salah lapor kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur
Polis Kuala Lumpur tidak bercadang menangkap pelajar yang ponteng sekolah tetapi sebaliknya akan membawa mereka balik ke balai polis untuk diberi nasihat supaya mengubah tabiat yang tidak menguntungkan itu.
Polis Kuala Lumpur tidak bercadang menangkap pelajar yang ponteng sekolah tetapi sebaliknya akan membawa mereka balik ke balai polis untuk diberi nasihat supaya mengubah tabiat yang tidak menguntungkan itu.
Ketika menjelaskan demikian, Pegawai Perhubungan Awam Polis Kontinjen Kuala Lumpur, DSP Law Tiang Huat berkata, kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mustafa Abdullah berhubung perkara itu telah disalahtafsir oleh kebanyakan media massa tempatan.
Kecuali akhbar kumpulan the
New Straits Times
(NST), akhbar media perdana lain, termasuk akhbar berbahasa Cina telah memetik Mustafa sebagai berkata polis Kuala Lumpur akan menangkap pelajar yang ponteng dan berkeliaran atau melepak di pusat membelibelah atau pusat hiburan.
Sebaliknya, kata Law, apa yang dimaksudkan oleh Mustafa ialah pelajar terbabit akan dibawa balik ke balai polis untuk dimaklumkan kepada ibu bapa serta pihak sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya hari ini telah menghantar satu kenyataan akhbar kepada semua media massa supaya memperbetulkan laporan tersebut.
Sebuah akhbar perdana menyiarkannya sebagai berita utama muka depan di bawah tajuk "Pelajar Lepak ditangkap". Manakala beberapa akhbar berbahasa Cina pula menyiarkannya di bawah tajuk "Polis tangkap pelajar ponteng".
Tiada rekod
Ketika ditemui malaysiakini hari ini, Law berkata, perkataan 'tangkap' tidak begitu tepat digunakan, sebaliknya pelajar yang ponteng itu akan 'dibawa balik' ke balai polis berhampiran.
"Kami tidak akan menangkap pelajar yang ponteng sekolah, tetapi kami akan membawa mereka balik ke balai polis berhampiran. Pihak kami hanya menunaikan tanggungjawab sosial kami berikutan meningkatnya kes jenayah dan pihak polis amat memandang berat perkara ini," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pihak polis tiada kuasa untuk menangkap pelajar yang ponteng sekolah.
"Sebaliknya, pihak polis hanya akan membawa mereka ke balai polis untuk diberi khidmat nasihat, sebelum menghubungi pihak sekolah dan ibubapa supaya datang mengambil anak mereka balik," tambahnya.
Law juga berkata, pihak polis tidak akan mengambil sebarang rekod mengenai pelajar-pelajar terbabit, tetapi akan menyerahkan kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.
Menurutnya lagi, pihak polis akan membuat rondaan di semua tempat yang dipercayai cenderung berlakunya kejadian jenayah.
Law juga bertambah, rondaan akan dibuat pada setiap masa, pihak mereka juga akan membuat rondaan spesifik jika mendapat maklumat daripada pihak ibu bapa atau pihak sekolah.

