Majlis Peguam: Polis guna kuasa secara 'hodoh'
Naib presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata polis tidak boleh menjustifikasi tindakan dalam perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara semalam dengan menyalahkan tindakan peserta yang menceroboh penghadang di Dataran Merdeka.
Leong berkata tindakan polis yang menggunakan kuasa secara "hodoh" itu tidak menunjukkan "kematangan, disiplin dan kawalan diri yang diperlukan dalam pasukan profesional."
"Dalam hal ini, Majlis Peguam sangat tidak bersetuju dengan penegasan menteri dalam negeri bahawa polis bertindak profesional," kata Leong lagi dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan disertai sehingga 150,000 rakyat Malaysia yang berarak di pusat bandar Kuala Lumpur semalam berakhir dengan aman pada jam 2.30 petang apabila penganjur meminta peserta bersurai.
Bagaimanapun sebahagian peserta berkenaan menceroboh pengadang yang diletakkan pihak berkuasa dan memasuki kawasan Dataran Merdeka – menyebabkan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke atas orang ramai yang hadir.
Polis menyebut bahawa seramai 471 orang ditahan dalam tindakan penyuraian itu, termasuk ke atas aktivis dan petugas media.
Anda mempunyai rakaman video atau gambar yang menunjukkan kekasaran polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0? Anda boleh membantu kami berkongsi rakaman berkenaan dengan pembaca Malaysiakini. Hubungi kami: photo@malaysiakini.com

