Pahang tidak menafikan kemungkinan mencontohi dasar kerajaan PAS Terengganu yang merombak sistem pengagihan balak berdasarkan rundingan konsesi kepada dasar tender terbuka. Satu sumber yang rapat dengan industri balak dan pemimpin negeri itu memberitahu malaysiakini bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang minggu lalu pernah membincangkan isu tersebut.

Perbincangan itu dipercayai ekoran perubahan dasar kerajaan Terengganu yang mahukan sistem rundingan dihapuskan kerana menggalakkan kronisme dan mengurangkan pendapatan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Perindustrian dan Petroleum negeri itu, Mustafa Ali, minggu lalu dilaporkan percaya Terengganu akan berjaya memperolehi pendapatan lapan kali ganda melalui sistem baru tersebut. Tahun lalu, kerajaan negeri memperolehi RM16 juta daripada hasil balak melalui sistem rundingan.

Bagaimanapun Setiausaha MMK Pahang, Harun Abdul Kadir apabila dihubungi malaysiakini hari ini tidak bersedia mengulas lanjut.

Pembalakan menyumbang pendapatan terbesar negeri Pahang. Menurut Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob ketika membentangkan belanjawan negeri bagi tahun 2000, sektor perhutanan menyumbang sebanyak RM99.81 juta daripada jumlah pendapatan negeri sebanyak RM334.78 juta bagi tahun lalu.

Belanjawan Pahang bagi tahun ini dijangka mencatatkan defisit RM55.47 juta berbanding hanya RM2.48 juta pada tahun sebelumnya. Perolehan hasil kerajaan dijangka berjumlah RM344.78 juta, berkurangan RM7.24juta berbanding hasil sebenar pada 1998 sebanyak RM352.02 juta.

Dasar tender terbuka untuk pembalakan dipercayai akan berjaya meningkatkan pendapatan kerajaan negeri yang semakin berkurangan.

Sementara itu, menurut seorang jurucakap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, hasil keseluruhan pembalakan untuk semua jenis hutan pada 1999 berjumlah RM103.14 juta daripada keluasan 37,416.56 hektar yang dilesenkan, manakala bagi 1998 pula, negeri itu mencatatkan pendapatan berjumlah RM 93.70 juta daripada keluasan 21,554.28 hektar yang ditebang. Keluasan maksima yang dibenarkan ialah 12,240 hektar setahun.

Melalui dasar tender terbuka untuk pembalakan, Kelantan yang ditadbir PAS sejak selepas pilihanraya 1990 berjaya memperolehi pendapatan RM56.45 juta daripa

da keluasan 5,679 hektar pada 1997 dan bagi tahun berikutnya, negeri itu mencatat kan hasil RM42.96 juta daripada keluasan tanah 6,108 hektar. Had kawasan penebangan yang dibenarkan seluas 6890 hektar setahun.

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, Kelantan merekodkan jumlah pendapatan RM167.6 juta daripada 158,200 hektar kawasan balak sepanjang 1985-1989. Namun, sepanjang 1994 hingga 1998, di bawah pentadbiran PAS, Kelantan berjaya mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM361.77 juta daripada 30,451 hektar yang ditebang.

Perbandingan hasil dan luas kawasan pembalakan antara Kelantan dengan Pahang

Tahun Luas (hektar) Hasil (RM juta)
1998 21,554.28 93.70
1999 37,416.56 103.14

Jadual A: Hasil dan keluasan pembalakan Pahang, 1998-99

Tahun Luas (hektar) Hasil (RM juta)
1997 5,679 56.45
1998 6,108 42.96

Jadual B: Hasil dan keluasan pembalakan Kelantan, 1997-98