KAMI anjur konvensyen bincang akses media
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) akan mengadakan konvensyen bagi membincangkan mengenai akses media alam membuat liputan dalam pilihan raya umum ke-13.
Ketua seketariat NGO itu, Hidayatul Kamil Termuji berkata konvensyen itu dirancang untuk membincangkan mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan semua media di negara ini dapat memberi laporan yang adil dan bebas.
"Kita juga mengharapkan agar media yang adil dan bebas boleh diakses oleh semua pihak dalam PRU-13 kerana ini akan membuktikan Malaysia adalah sebuah negara demokratik," katanya pada sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.
Penyertaan ke konvensyen pada 12 Mei itu disasarkan kepada pengamal media independen, pelajar, penulis blog dan juga ahli politik, katanya.
Tambahnya, hasil daripada resolusi konvensyen itu juga akan dipanjangkan pada pihak berkaitan agar setiap usul diberi perhatian.
Dalam sidang media sama, satu lagi kumpulan aktivis Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) mengumumkan rancangannya untuk mengadakan program sayembara puisi bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia menceritakan detik dan suasana semasa perhimpunan BERSIH 3.0.
Ahli jawatankuasa PAKSI, Mohd Kasim Muhamad berkata, puisi tersebut mestilah dihasilkan berdasarkan pengalaman ketika menyertai himpunan tersebut.
"Seluruh peristiwa BERSIH dituang dalam bentuk penulisan. Perjuangan untuk dapatkan pilihan raya umum yang bebas akan direkod," katanya.
Hadiah tempat pertama akan memenangi wang berjumlah RM1000, tempat kedua, RM750 dan tempat ketiga RM500.
Selain itu, terdapat lima hadiah saguhati dan tujuh hadiah penghargaan bagi peserta. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 6 Mei.
Sayembara puisi ini turut dianjurkan bersama lidah parti PAS Harakah dan kerajaan negeri Selangor.

