Sesetengah pihak berkuasa tempat ditegur kerana tidak mengawal pengeluaran premis-premis hiburan sehingga ia bercambah di bandar-bandar dan menjadi tempat 'persembunyian' pelajar yang ponteng sekolah.

"Di sinilah tempat berkumpulnya pelajar-pelajar ponteng sekolah mula menjalankan kegiatan yang tidak bermoral," kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranannya dalam menangani masalah disiplin pelajar dengan tidak lagi mengeluarkan lesen kepada premis hiburan di pusat membeli-belah atau tempat di bawah pentadbirannya.

"Ini kerana tempat-tempat inilah menjdi tumpuan pelajar-pelajar yang ponteng sekolah dan menghabiskan masa melakukan kegiatan tidak bermoral.

"Banyak pusat membeli-belah yang dipenuhi dengan premis hiburan seperti pusat permainan video, internet kafe, pawagam yang menjadi tumpulan pelajar ini," kata Mohd Azmi dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga meminta pihak polis supaya turut mengambil tindakan tegas bagi mengawal dan mendakwa pemilik premis hiburan yang melanggar peraturan.

Ponteng

Selain itu, beliau juga menyarankan supaya tindakan polis menahan pelajar ponteng turut diperluaskan ke di bandar-bandar lain kerana masalah pelajar ponteng bukan setakat berlaku di Kuala Lumpur sahaja.

"Masalah ponteng dan kegiatan jenayah di kalangan pelajar juga berlaku dengan serius di bandara-bandar lain seperti di Sungai Petani, Alor Star, Pulau Pinang dan lain-lain," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Masyarakat Penyayang Malaysia, Jamiah Mujir turut menyokong tindakan tindakan polis menahan pelajar yang ponteng dan berkeliaran di pusat-pusat hiburan.

"Ini adalah satu tindakan yang baik kerana guru disliplin sekolah pun kini tidak mampu lagi untuk menjaga pelajar yang ponteng. Oleh itu, mereka memerlukan bantuan pihak polis," katanya.

Menurutnya, antara punca masalah tersebut ialah pengaruh kawan dan faktor kurang kasih sayang daripada keluarga, menyebabkan pelajar ponteng dan cenderung melakukan kegiatan jenayah.

Lokap

"Dengan penglibatan pihak polis, ia memudahkan ibu bapa untuk mengetahui keadaan anak mereka," tambahnya.

Manakala Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim pula berpendapat pihak polis perlu bijak dalam menyelesaikan masalah pelajar yang ponteng sekolah.

"Istilah pelajar lepak perlu dilihat secara menyeluruh dan perlu dilihat dalam keadaan positif dan negatif. Pelajar yang mengunjungi pusat membeli-belah dan pusat hiburan, mungkin sekadar melepaskan tekanan," tambahnya.

Oleh itu, katanya, pihak polis hendaklah menyerahkan pelajar yang ditahan kerana ponteng kepada pihak sekolah.

"Pihak polis tidak harus mengenakan tindakan melokap pelajar terbabit kerana ia boleh membawa kesan negatif kepada mereka," tambahnya.