Polis telah menahan seorang jurulatih Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ) yang disyaki terbabit dalam kes mencabul kehormatan dua pelatih lelaki di kem Kolej Bersatu Sarawak (KDU), Sibu, Sarawak.

Kelmarin, kedua-duanya pelatih tersebut membuat laporan polis mendakwa jurulatih di kem tersebut telah mencabul kehormatan mereka, dalam dua kejadian berasingan minggu lalu.

Kedua-dua pelatih itu dipercayai dicabul kehormatan oleh jurulatih yang sama pada 19 dan 24 April lalu.

Sebelum ini, jurulatih tersebut dilaporkan telah melarikan diri selepas mengetahui pelatih-pelatih terbabit telah membuat aduan polis berhubung kejadian tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Talib Jamal ketika dihubungi malaysiakini , berkata jurulatih berusia 33 tahun tersebut berjaya ditahan pada petang semalam.

Pemeriksaan perubatan

Bagaimanapun, katanya, jurulatih tersebut dibebaskan selepas disoalsiasat oleh pihak polis berhubung aduan kedua-dua pelatih berkenaan.

Menurut Talib, jika ada bukti, jurulatih tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 37(7) Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan liwat.

Katanya, polis Sibu masih menyiasat kes ini dan akan menghantar jurulatih tersebut ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan selanjutnya. Sebelum ini, kedua pelatih telah menjalani pemeriksaan perubatan.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Pegawai Perhubungan Awam PLKN, Ku Ismail Ku Yahya berkata kem tersebut akan menjalankan siasatan dan jika didapati benar, jurulatih berkenaan akan dikenakan hukuman turun pangkat atau dipecat.

Menurutnya lagi, Majlis Program Khidmat Negara (MPKN) juga akan menjalankan bedahsiasat mengenai PLKN apabila peserta kumpulan pertama program itu tamat menjalani latihan Jumaat ini.

"Bagi kumpulan berikutnnya, latihan di kem PLKN akan dijalankan seperti biasa walaupun pada hari cuti umum dari 1 hingga 4 Mei depan. Mereka hanya dibenarkan cuti pada setiap hari Ahad.

"Manakala pelatih yang menyambut perayaan Wesak dibenarkan pulang, dengan syarat ada ibu bapa atau pewaris dekat datang menjemput mereka di kem masing-masing," tambahnya.

Mengenai kes kematian seorang pelatih PLKN yang ditemui lemas di Sungai Cia, Matang, Sarawak, Sabtu lalu, beliau menafikan ianya berlaku kerana kekurangan jurulatih yang bertugas.

Didakwa merogol

Sementara itu, seorang jurulatih PLKN dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas tuduhan merogol pelatih program tersebut yang berusia 17 tahun di Kem Merang, Setiu, Terengganu.

Zuki Mohd, 29, seorang anggota tentera berpangkat koperal, didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta Perodua Kancil di Rhu Tapai di Merang di antara jam 7.28 malam dan 9.10 malam 28 Februari lalu.

Zuki yang berasal dari Persiaran Desa Taman Hussein Onn di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun dan disebat.

Tertuduh yang memakai seluar hitam berbaju T biru kelihatan tenang ketika tuduhan tersebut dibaca kepadanya. Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh kes tersebut pada 9 Mei ini dan menasihat Zuki melantik peguambela sebelum tarikh tersebut.

Beliau juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.