mk-logo
Berita
Syarat Nik Aziz: Ubah dasar, terima sekali Pakatan
Diterbitkan:  May 19, 2012 10:43 AM
Dikemaskini: 10:45 AM

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan muzakarah bersama Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh PAS sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.

NONE "Kalau Umno nak bersatu (dengan PAS), tukar dasar kebangsaan dia, bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

"Umno kena terima PAS sekali dengan Pakatan (Rakyat). Bila Umno dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan Pakatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-37 PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS di Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara di sebalik kesudian PAS untuk mengadakan muzakarah dengan Umno sebagai suatu permulaan kepada kerjasama parti demi penyatuan orang Melayu khususnya umat Islam.

Katanya muzakarah diminta oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.

Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar PAS membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-NGO termasuk Umno.

Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno bersedia untuk bermuzakarah dengan PAS asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini