Komandan kem PKLN di kem Hutan Reakreasi Ayer Keroh, Melaka dan tiga orang jurulatih kanannya yang digantung tugas semalam mengadu bahawa penggantungan mereka dilakukan tanpa mengikuti prosedur yang betul.

Komandan Kem Mejar (B) Abdullah Yusof berkata beliau kesal pihak atasan dari Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Institut Kepimpinan Wawasan tidak menyiasat secara menyeluruh sebelum mengambil tindak tersebut keatas mereka.

Kini mereka berhasrat merujuk masalah mereka kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi agar tindakan yang sepatutnya akan diambil.

Abdullah dan tiga jurulatih tersebut digantung tugas secara serta merta kerana mereka didakwa melakukan kesalahan terhadap empat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tempoh hari.

Mereka dikatakan telah "mengusir" pulang empat pelatih tersebut daripada kem tersebut walaupun tempoh latihan fizikal pelatih tersebut belum lagi tamat.. Tindakan mengusir ini diambil selepas keempat-empat mereka didakwa melakukan banyak kesalahan, termasuk dakwaan melaporkan perkara tidak benar kepada pihak berkuasa, media dan ibubapa mereka.

Tindakan ini telah dibidas oleh pihak atasan yang mengatakan Abdullah dan tiga jurulatihnya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berbuat demikian.

Pelatih keras kepala

Hari ini, Abdullah memberitahu malaysiakini bahawa sekiranya pihak JLKN telah membuat siasatan mendalam dalam perkara ini, mereka akan tahu kenapa keempat-empat pelatih itu disuruh pulang daripada kem.

"Tindakan kami adalah untuk menjaga kepentingan peserta lain kerana tindak tanduk empat pelatih itu dianggap boleh mempengaruhi pelatih lain," kata Abdullah.

Beliau berkata keempat-empat pelatih itu bukan saja keras kepala, tetapi merokok, bermain judi, enggan mengikuti latihan dan sering memperlekehkan jurulatih mereka.

Abdullah tegas empat pelatih itu hanya disuruh berehat di rumah masing masing sementara menunggu keputusan selanjutnya daripada JLKN.

Sebelum ini, pihak media melaporkan empat pelatih ini mendakwa mereka didenda teruk dan dipukul jurulatih pada malam Ahad lalu.

Abdullah, apabila ditanya untuk mengulas perkara ini, menafikan dakwaan bahawa kecederaan kaki salah seorang pelatih tersebut adalah akibat dipukul oleh jurulatih kem tesebut.

Beliau berkata pelatih tersebut mengalami kecederaan semasa mengikuti aktiviti kem tersebut.

Kem contoh

Abdullah turut berasa kesal dengan tindakan keempat pelatih tersebut yang dikatakan telah mencemar nama baik kem Ayer Keroh yang sebelum ini pernah dinamakan sebagai kem contoh.

Menurut akhbar tempatan hari ini, surat penggantungan Abdullah dan tiga jurulatih terbabit telah dikeluarkan oleh presiden Institut Kepimpinan Wawasan, Brig Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim dan dihantar oleh pegawai latihan IKW kepada mereka berempat tengah hari semalam.

Kandungan surat tersebut meminta Abdullah dan tiga jurulatih bernama Cik Hashim Cik Dah, Jalaluddin Husin dan Dzangi Yaacob merehatkan diri daripada jawatan mereka berkuat kuasa pada 13 Mei semalam.

Selasa lalu, empat peserta tersebut - Ng Kim Hock, Soh Kia Lun, Ton Kian Heng dan Yeo Wei Leong - diarah pulang kerana didakwa melakukan banyak kesalahan, termasuk dakwaan melaporkan perkara tidak benar kepada pihak berkuasa, media dan ibubapa mereka.