Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memastikan had hutang Malaysia tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebagai strategi pengurusan berhemat dalam mengurus kewangan negara.

    

Kerajaan juga mengambil langkah mengurangkan defisit fiskal, selari dengan komitmen untuk memastikan pertumbuhan, katanya.

    

NONE "Tahun lepas, defisit fiskal berada pada kedudukan 4.8 peratus KDNK berbanding 5.0 peratus," kata Najib yang juga menteri kewangan dalam ucapan dasar pada persidangan "Invest Malaysia 2012" di ibunegara hari ini.

    

Bagi memastikan pertumbuhan dalam negara, khususnya dalam pasaran modal, Najib mengumumkan lima inisiatf baharu, termasuk mengamanahkan Bursa Malaysia untuk mewujudkan yayasan baharu, yang dianggotai pemegang kepentingan utama industri untuk menangani sebarang jurang pertumbuhan dalam pasaran.

    

Tumpuan khususnya ialah terhadap pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), inovasi pasaran dan pembangunan bakat sedia ada dan baharu,

    

"Bagi menyokong usaha itu, Dana Pembangunan Pasaran Modal akan diperuntukkan geran RM100 juta untuk menubuhkan yayasan baharu itu yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan," kata Najib.

Najib turut mengumumkan bahawa mulai 1 Jun, syarikat yang menyertai program Skim Latihan 1Malaysia berhak mendapat insentif pengurangan cukai dua kali ke

atas peruntukan dan perbelanjaan latihan yang digunakan.

   

Perdana menteri yang juga pemangku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, mengumumkan insentif pengurangan cukai berganda juga diberikan untuk perbelanjaan latihan yang digunakan oleh syarikat yang mengambil semula wanita yang berehat daripada kerjaya masing-masing, mulai 2013.

   

"Saya juga menggalakkan perbadanan utama yang disenarai mendedahkan dalam laporan tahunan masing-masing, dasar aturan kerja anjal yang mereka tawarkan bagi membantu menyokong wanita," katanya.

Perdana menteri berkata pendedahan itu akan membantu menyalurkan amalan terbaik dalam keseluruhan sektor korporat Malaysia, dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat telah diminta bekerjasama dengan TalentCorp, untuk mewujudkan ruang baharu untuk korporat berkongsi amalan yang sudah terbukti.

   

Mengenai persoalan daya saing dan menghapuskan kerenah supaya penerbit, pengantara dan pelabur mempunyai akses kepada kecekapan, keberkesanan dan kemudahan pasaran, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah diminta menubuhkan dan mengetuai Pasukan Petugas Pasaran Modal.

   

Najib juga berkata antara proses bagi memperkukuh penyepaduan ekonomi secara lebih mendalam dalam Asean, Bursa Malaysia, Bursa Singapura dan Bursa Thailand, menghubungkan pasaran masing-masing melalui "Asean Trading Link" bagi mewujudkan pasaran maya US$1.3 trilion.

   

Beliau berkata platform dagangan yang lebih besar dan kukuh ini akan memastikan Bursa Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk menghadapi saingan, bukan sahaja dari segi teknologi, malah menerusi dagangan merentas sempadan, dagangan tunai serta platform luar pasaran.

   

"Oleh itu, tidak ada antara kita yang tidak berbuat apa-apa atau mengambil hak kita dengan mudah. Bank Pembangunan Asia tepat ketika memberi ingatan bahawa "Alaf Asia, walaupun munasabah tetapi bukan ditakdirkan" namun jika kita meneruskan cara kita, komited kepada laluan kukuh liberalisame dan refomasi, saya yakin ia sekurang-kurangnya akan menjadi detik Asia Pasifik," katanya.

- Bernama