Exco: Salah faham, bukan ketidakaturan
Exco kanan Selangor Ronnie Liu menafikan berlaku ketidakaturan dalam perolehan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih RM1 juta untuk satu program publisiti negeri.
Sambil menyifatkannya "salah faham", Liu menjelaskan, proses perolehan tersebut diletakkan bawah agensi kerajaan yang silap dan mempunyai proses lebih ketat.
Pemerhatian audit dalaman Perbendaharaan Selangor terhadap perbelanjaan Karnival Terima Kasih Rakyat, satu karnival politik pada 25 Mac untuk meraikan ulang tahun keempat pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, mendapati pelbagai ketidakaturan dalam proses perolehannya.
Kebanyakan bayaran kepada pembekal kini ditangguhkan selepas dinasihati perbendaharaan negeri.
Ketidakaturan itu termasuklah ketiadaan sebut harga dan kelulusan perolehan untuk barangan dan perkhidmatan melebihi RM50,000, pembekal yang tidak berdaftar dengan kerajaan negeri dan persekutuan, dan pembekal yang membekalkan barangan dan perkhidmatan yang tidak termasuk dalam bidang perniagaan mereka.

