Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan "Genovasi" - satu program menggalakkan inovasi dalam strategi dan dasar Malaysia.

"Genovasi" yang menggabungkan perkataan "generasi" dan "inovasi", adalah program latihan yang akan memberikan peluang kepada golongan muda dan profesional mempelajari kemahiran inovasi.

Seramai 5,000 Duta Inovasi Negara akan dihasilkan dalam masa lima tahun akan datang menerusi program itu, kata Najib sewaktu melancarkan program itu di Putrajaya tengah hari tadi.

Mereka yang dikenali sebagai Duta Inovasi Negara kemudiannya akan menggunakan kemahiran itu untuk menyelesaikan masalah dan menjadi pemangkin kepada aplikasi dan amalan terbaik inovasi dalam negara.

"Duta Inovasi akan menjadi generasi pembaharuan yang akan memainkan peranan aktif dalam mempertingkat dan memperbaiki negara," kata Najib.

Jimmy Choo sokong inisiatif PM

Duta-duta itu, kata Najib, mempunyai tiga pilihan laluan untuk menggunakan kemahiran inovasi mereka - masyarakat, ekonomi dan projek peningkatan kerajaan.

Program tersebut akan dimantapkan pelaksanaannya oleh Unit inovasi Khas (UNIK) sementara Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pula akan menaja Duta Inovasi Negara yang dilatih Genovasi, kata Najib lagi.

Tambahnya lagi, satu panel yang dikenali sebagai Lembaga Wawasan akan memimpin dan menasihati Genovasi yang diharap akan diberikan status universiti dalam masa lima tahun.

Pereka kasut antarabangsa kelahiran Malaysia, Datuk Jimmy Choo dalam sesi dialog dengan Najib untuk memberi input bagi pelancaran penuh Genovasi awal tahun hadapan menyokong penuh inisiatif tersebut.

"Kita harus mendidik orang muda untuk berbuat sesuatu yang berguna buat negara," katanya.