MCA Kedah kekal bertanding di dua kerusi parlimen dan empat kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam pilihan raya umum ke-13, kata Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung.
Katanya keputusan itu dibuat BN yang setakat ini memperuntukkan kerusi parlimen Alor Setar dan Padang serai, serta DUN Kota Darul Aman, Kulim, Bakar Arang dan Gurun.
Semua kerusi terbabit ditandingi MCA dalam pilihan raya umum 2008, katanya kepada pemberita, di Alor Setar hari ini.
"Saya percaya kalau ada pertukaran kerusi antara Umno dan MCA, kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN untuk berbincang," katanya yang ditemui di majlis penyampaian sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGO).
Chor yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata jika ada pertukaran mungkin membabitkan kerusi parlimen Padang Serai.
Pada 2008, MAC kehilangan kerusi Padang Serai kepada PKR dan tiga kerusi DUN kecuali Gurun yang dimenangi Dr Leong Yong Kong. Chor pula berjaya mempertahankan kerusi parlimen Alor Setar.
Terdahulu Chor menyampaikan sumbangan kepada tujuh NGO, 85 penerima bantuan kecemasan dan 40 penerima bantuan Program Sentuhan Hati Parlimen Alor Setar, dengan jumlah keseluruhan RM121,670.
- Bernama
