Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), walaupun dituduh 'ketinggalan zaman,' hari ini meneruskan desakannya agar kerajaan menetapkan upah minimum RM600 sebulan.

Setiausaha Agung kesatuan itu, G. Rajasekaran, memberitahu malaysiakini bahawa kadar itu disarankan hasil kajian badan sekerja itu sejak Disember 1995 lagi.

Kajian mengenai Penetapan Gaji Minimum di negara ini yang dijalankan oleh MTUC dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati hampir dua juta pekerja Malaysia memerlukan perlidungan gaji minimum.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Sumber Manusia Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kepada Bernama hari ini bahawa "MTUC ketinggalan zaman kerana terus memperjuangkan gaji minimum pekerja di negara ini."

Katanya, kementerian berkenaan sudahpun menegaskan mengenai perlunya ada komponen asas bulanan serta komponen berubah berasaskan produktiviti pada pendapatan pekerja.

Dr Abdul Latiff berkata itu merupakan punca kerajaan tidak mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai gaji minimum

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Rafidah Aziz, dilaporkan berkata "prestasi negara akan merosot sekiranya pembayaran gaji dibuat tidak setimpal dengan produktiviti."

Rafidah berkata negara ini mengamalkan pemberian gaji berasaskan produktiviti dan tugas. Oleh itu, katanya lagi, penetapan paras gaji minimum tidak boleh diperkenalkan.

Dua pemimpin negara ini mengulas kenyataan Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak, yang mendesak kerajaan agar melaksanakan segera pembayaran gaji minimum bulanan.

"Kenyataan bahawa kadar upah minimum tidak akan meningkatkan produktiviti adalah tidak berasas sama sekali. Sebaliknya dengan menetapkan kadar itu, produktiviti pekerja akan meningkat," kata Rajasekaran, sebagai mengulas kenyataan menteri berkenaan.

"Sebagai sebuah negara Asia yang berupaya mengimport tenaga buruh asing, adalah tidak adil sekiranya majikan mengekalkan kadar gaji lama," katanya lagi.

Rajasekaran berkata, majikan sanggup membayar RM900 sebulan kepada tenaga buruh asing sedangkan purata gaji yang dibayar kepada buruh di Malaysia sekitar RM300 sebulan.

MTUC dalam kajiannya mencadangkan pecahan gaji asas itu termasuklah sumbangan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), jaminan insuran Perkeso, dan pelbagai perbelanjaan, selain sara diri, tempat tinggal dan pengangkutan.

Ketika cadangan itu dibuat, pendapatan per kapita negara ini sejumlah RM11,055 tetapi kini meningkat RM12,135 pada 1999.

Pecahan asas cadangan gaji minimum

Sara diri RM300
Tempat tinggal RM100
Pengangkutan RM50
KWSP RM69
Perkeso RM3.25
Pelbagai RM77.75