Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penggerak utama Himpunan Janji BERSIH Datuk A Samad Said berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk mencari damai dalam penganjuran perhimpunan itu yang dirancang diadakan pada malam ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun sasterawan negara itu berkata hanya pihak tertentu sahaja yang "sengaja mempersulitkan" keadaan dan hal demikian bukan datang daripada pihaknya.

NONE "Kadang-kadang yang membibitkan sesuatu yang tidak disenangi bukan daripada kita. Kita mahu melaksanakan cita-cita murni, tetapi sentiasa dikatakan kotor (dan) tidak mengikut undang-undang. Itu semua tafsiran daripada pihak sana," katanya dengan nada kesal.

Tokoh yang mesra dipanggil Pak Samad mengulas rancangan kumpulan anti-BERSIH Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang dilapor mengancam untuk bertindak agresif ke atas perhimpunan itu pada 30 Ogos.

Laporan Berita Harian semalam memetik kenyataan pengerusi MTPKL, Datuk Jamal Md Yunus yang "bosan dengan permainan politik" yang didakwa "banyak merugikan peniaga dan menyusahkan orang ramai" bahkan mereka "akan bertindak agresif serta tidak membenarkan" perhimpunan itu berlaku.

Dilaporkan perhimpunan Janji BERSIH itu bakal disertai 26 daripada 80 badan gabungan BERSIH dengan berpakaian kuning. Kumpulan lain dijangka menyertainya kemudian.

Diminta mengulas lanjut kenyataan Jamal yang juga pemilik rangkaian restoran Sekinchan Ikan Bakar bahawa pihak kumpulan itu akan bertindak agresif, Pak Samad yang juga pengerusi bersama BERSIH berkata:

"Itu hak dan kebijaksanaan beliau (untuk menerangkan) apa yang dimaksudkan dengan agresif. Beliau harus menjelaskannya. Jangan senang-senang mulut (bercakap)," kata Pak Samad sinis.

Mengulas kenyataan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang dilapor mendakwa sambutan Hari Raya Aidil Fitri akan terganggu atau tercemar susulan adanya perhimpunan tersebut, Pak Samad berkata beliau tidak hairan dengan sikap bekas menteri itu.

"Memang itu sikapnya. Dah tidak boleh berubah. Saya langsung tidak hairan dengan kenyataan beliau itu," katanya sambil menjelaskan mesyuarat yang berlangsung malam tadi berhubung perhimpunan itu, akan bersambung malam esok.

Katanya, mesyuarat malam tadi dibuat tanpa kehadiran beliau kerana beliau mempunyai urusan lain.

1. NGO ancam tindakan agresif ke atas Janji BERSIH

2. Pak Samad: Saya sentiasa berusaha cari damai

3. #Janji BERSIH: Ingat 30 Ogos di pancuran air Dataran

4. Pak Samad: Polis salah faham, 'Janji Bersih' terus

5. Kuning akan warnai Dataran lagi di ambang merdeka

 

 

ADS