BN dakwa S'gor rampas tanah RM250 juta di Gombak
BN Selangor hari ini mendakwa kerajaan negeri itu telah merampas tanah seluas 234 hektar yang bernilai RM250 juta di Gombak.
Koordinator BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, tanah yang sepatutnya dimiliki oleh Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dirampas oleh kerajaan negeri dengan alasan berlakunya perlombongan haram.
Menurut Mohd Zin, tindakan tanah itu diambil mencurigakan apabila pada 4 Ogos 2011, mahkamah menetapkan tanah itu dimiliki secara sah oleh anak syarikat KHSB, SAP Holding Berhad.
"Tanpa menghiraukan arahan mahkamah, pada 25 Ogos 2011, tanah yang bernilai RM250 juta ini dirampas oleh kerajaan negeri tanpa alasan yang kukuh.
"Majoriti pemegang saham KHSB tidak dimaklumkan mengenai perkara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat BN Selangor di Shah Alam.
Sehubungan itu, Mohd Zin mendesak agar kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Selain mempersoalkan rampasan tanah itu, Mohd Zin turut mempertikaikan status sebenar tanah itu sama ada tanah pembangunan atau pertanian.
"Jika benar berlaku aktiviti perlombongan haram, kenapa tiada tindakan terhadap pihak melombong? Apakah status tanah itu sekarang? Adakah aktiviti perlombongan di tanah itu benar-benar terhenti?" soal Mohd Zin.
"Segala persoalan yang ditimbulkan ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri dan KHSB sendiri. Kami percaya mungkin ada berlaku penyelewengan.
"Rakyat Selangor berhak tahu ke mana hilangnya tanah bernilai RM250 juta itu," katanya lagi.

