Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adnan Yaakob: Isu sianida di lombong hanya propaganda

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan isu penggunaan bahan kimia sianida di lombong emas di Bukit Koman, Raub, Pahang yang didakwa sebagai punca penyakit kulit kepada penduduk hanya merupakan propaganda pembangkang.

Beliau berkata perkara itu mempunyai kaitan dengan pihak tertentu yang gagal mendapatkan projek tersebut dan parti pembangkang iaitu DAP turut mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.

Namun, katanya Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw (yang juga doktor penyakit kulit) turut mengakui bahawa tidak terdapat bukti kukuh penduduk Bukit Koman dijangkiti penyakit kulit akibat pencemaran bahan kimia tersebut.

"Ini satu propaganda yang direka oleh parti DAP sahaja. Kementerian Kesihatan Malaysia yang melakukan kajian di Bukit Koman telah mengesahkan tiada sebarang punca penyakit kulit ditemui.

"Kerajaan negeri menjalankan kajian mengenai perakara tersebut dari semasa ke semasa bagi memantau tahap kesihatan di kawasan perlombongan emas itu," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena dekat Alor Setar hari ini.

Naib Pengerusi Kumpulan Anti-Sianida (ACG) Sherly Hue sebelum ini turut mengakui gagal mengemukakan bukti bahawa sianida di lombong emas itu punca penyakit di kalangan penduduk.

Sementara itu Adnan secara sinis berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan Himpunan Hijau di Bukit Koman.

Laporan sebelum ini menyebut pembangkang bercadang mengadakan perhimpunan  bagi menghalang pihak pelombong dari terus beroperasi selepas kononnya aktiviti pelombongan itu menyebabkan penduduk terdedah kepada penyakit kulit.

"Demonstrasi itu dapat membantu kerajaan negeri dalam pelancongan dan idea saya mengenai galakan 'demotourism' berjaya," katanya.

Mengenai politik, Adnan menyaran Umno Kedah khususnya di kawasan Parlimen Pokok Sena agar menumpukan kepada soal kebajikan rakyat.

Katanya jika soal kebajikan rakyat diambil berat oleh Umno, sudah pasti kerajaan negeri (Kedah) yang dikuasai pembangkang dapat kembali kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS