Zainal Abidin Saad - pembantu khas Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman - yang ditahan bersama dua yang lain oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan satu kes dakwaan rasuah, akhirnya tampil memberi penjelasan.

NONE Zainal Abidin (kanan), 56, berkata beliau hanyalah "seorang saksi dan bukan suspek" dalam kes dakwaan rasuah yang dikatakan untuk menutup dakwaan gangguan seksual oleh seorang bekas pegawai daerah di negeri itu.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Zainal Abidin berkata beliau terkejut apabila membaca laporan berita yang memberi tumpuan terhadapnya selaku pembantu khas TKM 1 Pulau Pinang.

Menurutnya, beliau tidak terlibat dalam apa-apa transaksi untuk menutup sebarang kes gangguan seksual, dan tidak memberi atau menerima apa-apa untuk menutup kes tersebut.

Zainal Abidin mendakwa laporan mengenai penahanannya menunjukkan bahawa terdapat niat buruk yang bermotif politik untuk mencemarkan imejnya dan  pemimpin partinya.

Katanya, beliau telah dinasihatkan oleh peguamnya dan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berterusan memfitnahnya.

Sementara itu, Zainal Abidin mendakwa selepas ditangkap oleh SPRM pada 3 Januari, dia ditahan di lokap semalaman sebelum disoalsiasat.

Menurutnya, sepanjang tempoh soalsiasat itu, dia dirujuk dan disoal sebagai seorang saksi sahaja dan bukan sebagai suspek atau pesalah.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengapa dia ditahan semalaman dalam lokap jika dia disoal oleh SPRM sebagai saksi.

Beliau juga tidak menjelaskan mengapa dia mengambil seminggu untuk tampil membuat penjelasan tersebut, selepas pihak media melaporkan tentang penangkapannya dan mengaitkannya dengan Mansor dan PKR.

NONE Zainal Abidin kemudian menafikan bahawa Mansor (kiri), yang juga pengerusi PKR negeri atau mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat, terlibat dalam kes itu yang dilaporkan berlaku pada tahun 2011.

Katanya, siasatan melibatkan dakwaan rasuah untuk menutup kes gangguan seksual yang melibatkan bekas pegawai daerah (DO) Seberang Perai.

Bekas DO tersebut, Roslan Yahaya, telah dipindahkan sekretariat kerajaan negeri, berkuatkuasa Isnin, dan diganti oleh rakan sejawatannya yang juga bekas DO Seberang Perai Utara, Jusni Ismail.

[Baca berita penuh]