Ezam seru rakyat sertai sambutan '14 Hitam' 'Ein Azmi Parti KeADILan Nasional hari ini menyeru rakyat berhimpun secara aman bagi membantah sekatan politik yang semakin meluas selepas kejayaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum November lalu.

"Barisan Nasional di bawah pimpinan (Perdana Menteri) Dr Mahathir apabila semakin berkuasa, semakin mudah mereka menindas rakyat," kata Ketua Pemuda parti itu, Mohamad Ezam Mohd Nor, dalam satu kenyataan sebagai melancarkan laman web rasmi program tersebut di[#1] http://reform-black14.tripod.com/[/#]

"Mereka tidak lagi mempedulikan hak-hak rakyat untuk bersuara, menulis dan berkumpul. Penindasan ini semua mestilah dibantah sekeras-kerasnya oleh rakyat."

Ezam merujuk perkembangan politik mutakhir -- pengharaman majalah proreformasi Detik, hukuman yang ringan ke atas bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor, sekatan terhadap Harakah, dakwaan terhadap tujuh aktivis reformasi yang menyokong tabloid itu di Masjid Negara 11 Mac lalu dan larangan berhimpun di ibukota yang berkuat kuasa serta merta pada 25 Mac lalu.

Perhimpunan yang dinamakan 'Black 14' atau '14 hitam' dijadualkan diadakan pada 15 April ini di Masjid Negara. Ia diadakan sempena sambutan ulang tahun pertama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara.

Bekas Setiausaha Politik Anwar itu berkata 14 April tahun lalu merupakan "kemuncak kepada semua kezaliman yang dilakukan oleh Dr. Mahathir sepanjang tempoh memegang jawatan Perdana Menteri."

Laman web baru itu memuatkan aturcara penuh program pada hari itu, dari 14 April malam hingga petang keesokan harinya. Turut disertakan dalam aturcara itu ialah jadual perjalanan keretapi dari seluruh negara dan pemimpin-pemimpin utama pemuda tiga lagi komponen Barisan Alternatif.

Objektif program dan memorandum yang bakal diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong juga disertakan.

"Bagaimanapun, memorandum itu belum muktamad. Kami masih memerlukan maklum balas orang ramai," kata Ezam lagi.