Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekalan air pulih di Sepang, Kuala Langat, Klang dan Petaling

Gangguan bekalan air di empat daripada lima kawasan ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih semalam kembali pulih hari ini.

    

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), kecuali Hulu Langat, bekalan air di kawasan Sepang, Kuala Langat, Klang dan Petaling telah kembali pulih.

    

"Dengan bermulanya semula operasi LRA Sungai Semenyih pada malam semalam, gangguan bekalan air yang berlaku telah bertambah baik setakat pagi tadi.

    

"Setakat hari ini gangguan bekalan air hanya melibatkan 125,000 pengguna di kawasan Hulu Langat yang mengambil masa selama tujuh hari untuk kembali pulih," menurut SYABAS dalam kenyataan hari ini.

    

Kawasan sekitar Hulu Langat yang masih terjejas ialah Sungai Chua, Pekan Kajang, Bangi dan Semenyih.

"SYABAS akan terus menjalankan pemantauan berterusan di kawasan yang terlibat serta akan memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa," katanya.

    

Setakat ini SYABAS menyediakan lapan buah lori tangki air untuk membekalkan air kepada penduduk yang masih terjejas bagi meringankan kesulitan para pengguna.

    

Gangguan bekalan air di kawasan tersebut ekoran pencemaran minyak kelapa sawit di Sungai Semenyih. LRA Sungai Semenyih ini membekalkan air terawat kepada 349,000 akaun pengguna di sekitar Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

    

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 24 jam 1800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222 selain menggunakan laman Twitter dan Facebook yang disediakan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

- Bernama

ADS