Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elaun sara hidup nelayan telan belanja RM350j setahun

Kerajaan membelanjakan lebih RM350 juta setahun bagi membayar elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada kira-kira 55,000 nelayan di seluruh negara.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata pelbagai insentif lain dan yang terbaru insurans kemalangan diberikan untuk membela golongan itu.

"Segala bantuan ini diberi kerana kerajaan menghargai sumbangan nelayan selain menggalakkan mereka menumpu perhatian kepada profesion dan meningkatkan tangkapan untuk memenuhi keperluan rakyat.

"Kebajikan nelayan akan terus dijaga dan mereka tidak akan dipinggirkan menikmati segala bantuan selagi ekonomi negara makmur," katanya sewaktu berucap menutup Program Membudaya Seni (PMS) peringkat Dewan Undangan Negeri kawasan Kubang Rotan di perkampungan Kota Nelayan Kuala Kedah, dekat Alor Setar, malam tadi.

Program sehari itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah serta Komuniti 1Malaysia Parlimen Kuala Kedah.

Antara program dijalankan termasuk sukaneka kanak-kanak, pertandingan futsal dan sepak raga serta gotong royong mengecat dewan orang ramai Kampung Seberang Alor dan membersih kawasan, yang diadakan sejak awal pagi semalam.

Latt Shariman yang juga ketua Umno bahagian Kuala Kedah mahu masyarakat nelayan mengukuhkan kerjasama dan saling membantu supaya industri perikanan negara berkembang.

Mengenai budaya, beliau berkata seni dan budaya rakyat Malaysia harus dipupuk dan aktivitinya dibimbing agar tidak tenggelam dalam arus perkembangan dan pengaruh budaya asing.

Pada majlis itu, Latt Shariman menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 15 orang ibu tunggal dan warga emas dari kalangan nelayan dan isteri mereka.

- Bernama

ADS