Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Wartawan Malaysia Claudia Theophilus, 42, penerbit di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, mati dipercayai akibat terkena tembakan dalam satu insiden di Baakleen yang terletak di sebuah kawasan pergunungan di Lubnan, semalam.

   

Duta Besar Malaysia di Lubnan, Ilango Karuppannan berkata menurut laporan awal polis, tiada elemen jenayah dalam kejadian yang menimpa Claudia pada kira-kira 2.30 pagi waktu Lubnan.

   

"Sebaliknya, ia berlaku secara tidak sengaja yang mana dia (Claudia) terkena tembakan dari satu senjata api," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

   

Beliau berkata mayat Claudia akan dibawa pulang selepas segala urusan forensik dan bedah siasat selesai dijalankan.

   

Menurutnya, Claudia berkunjung ke Baakleen bersama dua rakannya yang merupakan rakyat Lubnan.

   

Laporan media menyebut mangsa tiba di Lubnan pada 28 Januari lalu untuk melawat kawannya di negara itu.

   

Menurut laporan itu, Claudia terkena tembakan ketika beliau dan dua rakannya sedang 'bermain' dengan beberapa laras senapang sebelum senjata itu tiba-tiba meletup.

   

Mendiang pernah bekerja dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini.

   

-Bernama

ADS