Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan benar SYABAS pinda tuntutan

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini membenarkan rayuan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd untuk meminda penyataan tuntutannya dalam saman sivil terhadap kerajaan negeri Selangor

berhubung pelarasan tarif air.

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara memansuhkan keputusan Mahkamah Rayuan  yang menolak permohonan syarikat air itu untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan dua kadar alternatif bagi pengiraan kuantum pampasan.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk

Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Zainun Ali membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan menghidupkan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.    

Mahkamah Tinggi pada 29 Mei tahun lepas, membenarkan permohonan SYABAS untuk meminda pernyataan tuntutannya untuk memasukkan kadar alternatif.  

 Hakim Md Raus berkata Mahkamah Persekutuan sependapat dengan Mahkamah Tinggi bahawa pindaan terhadap pernyataan tuntutan tidak akan mengubah ciri saman siviL itu.

Panel itu memerintahkan kerajaan negeri Selangor membayar RM20,000 sebagai kos perundangan kepada Syabas dan kerajaan Malaysia yang merupakan pihak ketigA dalam saman itu, diperintah membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada SYABAS.

Saman itu ditetapkan untuk perbicaraan di  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari 1 hingga 4 Julai dan dari 8 hingga 10 Julai.   

Pada 10 November 2011, Syabas memfailkan saman  sivil menamakan kerajaan negeri Selangor sebagai defendan. Susulan itu, kerajaan negeri turut mengheret kerajaan persekutuan sebagai  pihak ketiga dalam saman itu. Syarikat itu menuntut kerajaan negeri Selangor

membayar  RM1.05 bilion bagi pelarasan tarif air.   

Dalam pernyataan tuntutannya, SYABAS menyatakan kiraan kuantum pampasan yang dipohonnya perlu berasaskan formula RM1.89 bagi satu  meter padu.

SYABAS kemudiannya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meminda pernyataan tuntutannya untuk memasukkan dua lagi kadar - RM1.82 dan RM1.80 bagi satu meter padu - sebagai kiraan bagi pampasan.

Dalam pernyataan tuntutannya, SYABAS berkata berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Disember 2004 ditandatangani syarikat itu, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Selangor, ia diberi konsesi 30 tahun untuk membeli air terawat daripada operator rawatan air dan untuk membekalkan air terawat ke kawasan-kawasan pengagihan, menurut terma dalam perjanjian itu.

Syarikat itu berkata menerusi surat bertarikh 31 Mac 2008, ia menghantar dokumen kepada kerajaan negeri Selangor untuk menyokong permohonannya bagi tarif RM1.39 satu meter padu yang telah diwartakan dinaikkan kepada RM1.89 satu meter padu bagi tempoh operasi ketiga dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2012.   

SYABAS mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal memaklumkan syarikat itu sama ada ia bersetuju untuk menaikkan tarif diwartakan itu

kepada tarif yang dipersetujui.

Syarikat itu juga mendakwa ia telah menghantar beberapa pucuk surat kepada kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan itu,

selaras dengan perjanjian konsesi tetapi gagal mendapat sebarang jawapan memuaskan daripada kerajaan negeri.   

Dalam afidavit balasannya, kerajaan negeri Selangor, menerusi setiausaha kerajaan negeri pada ketika itu Datuk Ramli Mahmud, berkata saman SYABAS itu merupakan salahguna proses mahkamah, menyatakan industri air sedang menjalani penstrukturan semula sepertimana ditetapkan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.   

Pada 23 Oktober tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan SYABASuntuk merayu.   

SYABAS diwakili peguam Datuk Harpal Singh Grewal dan kerajaan negeri Selangor oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas mewakili kerajaan Malaysia.

  

- Bernama

ADS