Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bagi Alang Terawas, 63, usaha meneruskan kelangsungan hidup di hutan belantara bukan lagi satu kedamaian malah kini seperti mimpi ngeri yang tiada kesudahannya.

Dahulu kaumnya masyarakat Orang Asli suku Temiar yang mendiami Kampung Seng Sang di Lojing di sini hidup aman damai dengan menjadikan kehidupan alam di kampung itu sebagai punca rezeki mereka.

Kini tidak lagi apabila Sungai Belatop yang terletak bersebelahan kampung itu sudah tidak bererti lagi malah hutan tempat mereka berburu juga seolah-olah hilang daripada pandangan.

Air sungai itu kini berkeladak dan hutan rimba bertukar wajah apabila hasil hutannya seperti balak yang tinggi nilai hasilnya digondolkan dan diganti dengan sayur-sayuran yang bukan lagi milik mereka.

"Kawasan perkampungan ini adalah yang paling hampir dengan Lojing dan sungai yang mengalir dari kawasan pergunungan ini adalah punca utama penduduk di Gua Musang mendapatkan bekalan air minuman.

"Namun kini, air sungai semakin tercemar kerana kegiatan untuk tanah pertanian yang semakin menjadi-jadi. Sekarang ini ikan mati, katak mati, orang pun boleh mati," kata Alang.

Terdapat lebih 50 keluarga masyarakat itu di kampung tersebut yang sebahagiannya beragama Islam yang selama ini hidup dengan hasil hutan itu.

Sejak 1995, keadaan mula bertukar apabila kerajaan Kelantan membenarkan beberapa syarikat menggondolkan kawasan persekitaran bagi syarikat berkenaan mengusahakan tanaman sayur-sayuran.

Kawasan hutan yang dianggap tanah adat masyarakat itu yang digondolkan tanpa kawalan menggusarkan masyarakat berkenaan apabila sungai berkenaan dilaporkan sebagai antara sungai paling tercemar di negara ini.

Berikutan itu, penduduk berkenaan tidak lagi menggunakan sungai tersebut untuk sumber minuman dan kini bergantung kepada air tandak (air bukit) berhampiran sebagai sumber air.

Bagaimanapun, mereka bimbang sumber air berkenaan bakal menerima nasib yang sama jika tiada mana-mana pihak dapat mengawal aktiviti pembangunan di kawasan tersebut.

"Tinggal air ini sahaja yang kecil alirannya buat kami minum bersama lebih 50 keluarga di sini. Cuba encik bayangkan jika air ini juga akan tercemar jika kawasan ini terus digondolkan.

"Sudahlah kami tidak boleh menangkap haiwan untuk berburu. Menangkap ikan pun sudah tidak boleh. Kami nak makan apa? Tolonglah kasihankan kami," katanya.

Beliau berkata penduduk kampung itu terpaksa masuk jauh ke dalam hutan yang lain bagi mencari rezeki seperti mendapatkan buluh dan rotan dengan pendapatan yang jauh lebih rendah iaitu kira-kira RM50 sebulan.

Alang berkata mujur selama ini kerajaan Pusat melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli banyak membantu penduduk dengan membina rumah yang dianggap mereka jauh lebih selesa daripada dahulu.

Alang berkata kerajaan negeri juga dilihat tidak membela nasib masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut apabila tidak menyediakan kemudahan alternatif seperti memberi bekalan air kepada mereka.

"Mujur ada kerajaan persekutuan. Mereka bina tandak di kawasan air bersih dan salurkannya melalui batang-batang paip ke kawasan perkampungan kami. Selain itu, mereka turut sediakan kawasan penempatan dan membina rumah baharu untuk kami tinggal," katanya.

Bagaimanapun, Alang berkata masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan penempatan tersebut, kini turut berdepan dilema baharu apabila sehingga sekarang kerajaan negeri masih tidak memberi geran tanah kepada mereka.

Beliau mendakwa kerajaan negeri suatu ketika dahulu pernah berjanji untuk memberi geran pemilikan tanah dan tempat tinggal kepada mereka, namun telah ditarik balik tanpa diketahui sebabnya.

"Kami memerlukan geran tanah sebagai bukti kami berhak untuk tinggal di sini. Jika tiada geran tersebut bermakna rumah-rumah yang dibina di kawasan perkampungan ini pada bila-bila masa sahaja boleh dirampas kerajaan negeri.

"Saya lihat tindakan tersebut hanya menguntungkan kerajaan negeri sahaja. Kami penduduk Orang Asli merasa tertindas dengan cara kerajaan negeri memperlakukan kami," katanya.

Sementara itu, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Mohamad berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu tegas menangani keadaan pembangunan di Lojing yang dilihat NGO itu sebagai tidak terkawal.

"JAS adalah pihak yang patut menjawab segala permasalahan Orang Asli di Lojing ini yang mana ancaman utama bagi mereka adalah kawasan pertanian dan punca air. Sebelum ini Orang Asli tidak memerlukan air tandak pun tetapi kini tidak lagi," katanya.

Beliau yakin semua projek pembangunan di kawasan itu tidak mempunyai Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kecewa keadaan itu bakal memusnahkan kawasan dan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli.

"Ini hasilnya tindakan kerajaan negeri yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan siapa yang bakal menanggung derita," katanya.

- Bernama

ADS