Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Melaka mencatat kira-kira 83,500 pendaftaran pengundi baharu sehingga 30 Sept tahun lepas, kata Pengerusi Bilik Gerakan BN Melaka Datuk Wira Othman Mohammad.

Beliau berkata kawasan Parlimen Bukit Katil mencatatkan bilangan pendaftaran pengundi paling ramai dengan 21,900 orang, diikuti Tangga Batu (15,600); Kota Melaka (14,000); Alor Gajah (11,800); Jasin (11,600) dan Masjid Tanah (8,600).

Katanya daripada jumlah itu, 90 peratus atau 75,150 merupakan pengundi muda berumur 21 hingga 39 tahun.

"BN yakin mendapat sokongan daripada pengundi muda pada pilihan raya umum ke-13 ini berdasarkan corak pengundian pada pilihan raya umum lepas serta kejayaan dasar-dasar dilaksanakan kerajaan BN pada masa ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program pilihan raya umum ke-13 di Melaka, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan senarai Suku Tahun Ketiga 2012 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 434,885 orang layak mengundi di Melaka.

Sementara itu, Othman berkata pembangkang di Melaka dilihat ketandusan isu berikutan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat berjaya ditangani kerajaan BN.

Justeru, beliau yakin BN negeri Melaka mampu memenangi semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi pembangkang sebelum ini serta melakukan kejutan di kerusi Parlimen Kota Melaka yang menjadi kubu kuat DAP.

- Bernama

ADS