Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selangor menerima pelaburan berjumlah RM10.52 bilion dengan 211 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor Teresa Kok.

Daripada jumlah yang diluluskan, sejumlah RM6.53 bilion atau 62 peratus daripada jumlah pelaburan yang diterima adalah pelaburan tempatan manakala RM3.99 bilion (38 peratus) merupakan pelaburan asing, katanya dalam satu kenyataan semalam.

    

Beliau berkata berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), 211 projek yang diluluskan dalam tempoh 10 bulan pertama 2012 itu adalah 36 peratus daripada keseluruhan 650 projek pelaburan di seluruh negara yang diluluskan pada tempoh itu.

    

Sebanyak 131 projek daripada 211 projek itu merupakan projek baharu dengan nilai pelaburan berjumlah RM7.48 bilion manakala 80 lagi projek merupakan projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan RM3.04 bilion.

    

Sejumlah 18,975 potensi peluang pekerjaan bakal diwujudkan daripada 211 projek yang diluluskan itu, katanya.

    

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lepas, pelaburan dari China berada di tangga teratas dengan sembilan projek bernilai RM1.26 bilion, diikuti pelaburan dari Singapura dengan 16 projek bernilai RM595.36 juta dan Jerman dengan sembilan projek bernilai RM335.43 juta, katanya.

    

Kok berkata industri pembuatan peralatan kenderaan mencatat nilai pelaburan tertinggi dalam tempoh itu dengan 34 projek bernilai RM4.45 bilion, diikuti industri pembuatan barangan elektrik dan elektronik sebanyak RM1.59 bilion dengan 19 projek dan industri pembuatan barangan makanan sebanyak RM1.07 bilion dengan 17 projek.

    

- Bernama

ADS