Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (Mtem) akan menubuhkan jawatankuasa bersama dengan Petronas bagi menyelesaikan isu termasuk dakwaan peminggiran usahawan bumiputera dalam projek syarikat petroleum negara itu.

Pengerusi Mtem Datuk Syed Ali Mohamed Alattas berkata mereka bagaimanapun akan meminta Petronas mengesahkan hasil perbincangan berhubung isu berkenaan terlebih dahulu sebelum jawatankuasa itu ditubuhkan.

"Semalam kita adakan mesyuarat selama dua jam bersama Petronas. Saya fikir ianya positif dan akan memandangkan kehadapan.

"Kita tak boleh nak beritahu apa yang dimesyuaratkan selama dua jam, tetapi kita akan menulis surat kepada Petronas untuk ditanda tangan," katanya.

Beliau menegaskan, surat tersebut perlu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

"Tujuan surat itu adalah untuk mereka (Petronas) mengesahkan apa yang dibincangkan semalam. Kita akan tunggu balasan surat itu pada 21 Februari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia hari ini.

NGO tersebut sebelum ini mendakwa Petronas gagal menjalankan tanggungjawabnya membantu meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Mtem, Mohd Nizam Mahshar mendakwa, dasar keterbukaan Petronas kini dilihat mengutamakan syarikat asing berbanding syarikat bumiputera di dalam industri gas dan minyak.

Beliau meminta agar halatuju Petronas terhadap penglibatan syarikat Melayu dan bumiputera diperkemaskan.

"Dalam pertemuan itu semalam, kita juga berbincang supaya Petronas perkemaskan dan menambahbaik penglibatan syarikat Melayu dan bumiputera dalam bidang gas dan minyak.

"Kedua-duanya (Mtem dan Petronas) bersetuju yang Petronas perlu melihat dan lakukan kerjasama yang lebih luas dan mendalam terutama membabitkan penyertaan syarikat bumiputera dalam sektor ini," katanya ketika ditemui Malaysiakini .

ADS