Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan laku perubahan melalui kekerasan, kata Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak mengikut masyarakat di sesetengah negara Islam di Timur Tengah yang mahu membuat perubahan melalui kekerasan sehingga mengorbankan banyak nyawa.

    

Sebaliknya, mereka perlu bersyukur dengan kemakmuran yang dikecapi negara pada masa ini sehingga Malaysia mampu menjadi sebuah negara Islam yang maju dalam pelbagai bidang dan ingin dicontohi negara Islam lain.

    

"Umat Islam di Malaysia harus bersyukur kerana mereka hidup dalam sebuah negara yang aman, makmur dan berjaya membangun sebagai contoh yang ingin dicontohi oleh negara-negara Islam lain," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul Umno Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Jorak, Bukit Pasir di Muar malam tadi.

    

Katanya, paling membanggakan negara berjaya memupuk ukhwah bukan sahaja antara sesama Islam tetapi antara masyarakat Islam dengan bukan Islam sehingga ia menjadi satu model sebuah negara Islam yang baik.

    

"Kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain sehingga kita berjaya mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu tanpa mengira agama," katanya.

    

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan perdamaian dan perpaduan itulah akan dapat digunakan untuk membangunkan umat Islam dalam bidang iktisad, sahsiah, pendidikan dan budaya.

    

"Kita nak melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang yang bukan hanya dalam hubungan antara sesama sendiri tetapi maju dalam bidang pembangunan minda, pendidikan, iktisad dan lain-lain," katanya.

    

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali mengingatkan penyokong parti politik supaya bersikap matang dan tidak terbuai dengan emosi sehingga boleh mencetus insiden yang tidak diingini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Katanya, semua pihak perlu menerima apa jua keputusan PRU-13 dengan hati terbuka dan bertanggungjawab.

    

Beliau berkata pihaknya mengesan wujudnya hasutan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan provokasi dan tuduhan tidak berasas sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram serta mengancam keselamatan negara, jika mereka tidak memperoleh kemenangan.

    

"Kami menyeru rakyat Malaysia supaya menghadapi pilihan raya ini dengan tenang dan bertanggungjawab, malah apa sahaja keputusan PRU-13 nanti, ia perlu diterima oleh semua pihak dengan cara yang baik dan bertanggungjawab.

    

"Jangan mengambil keputusan di tangan sendiri dengan sengaja mencetuskan kekecohan dan melanggar undang-undang, sekiranya keputusan tidak memihak kepada satu-satu parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Perkasa semalam.

    

Ibrahim berkata bantahan atau demonstrasi seperti yang dibayangkan parti pembangkang sebelum ini hanya akan merosak kedamaian negara, sekaligus merugikan semua pihak.

    

"Malaysia dah melalui 12 kali PRU, di mana semuanya berjalan dengan baik, tetapi kita bimbang nanti ada pihak yang mengungkit, mempersoal dan membuat tuduhan liar serta kekacauan apabila keputusan tidak memihak kepadanya.

    

"Justeru, rakyat perlu bersatu hati dan menolak dengan keras semua anasir buruk itu dan menyediakan pemikiran masing-masing agar mampu menerima dengan matang dan tidak terjebak dengan mana-mana provokasi yang sengaja dicetuskan pihak tertentu," katanya.

    

Beliau berkata keputusan PRU-13 nanti tidak seharusnya dipertikai kerana beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya akan menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan adil bagi memastikan PRU-13 nanti berjalan dengan bersih.

    

- Bernama

ADS