Izzah rayu PBB bebaskan Anwar
Nurul Izzah Anwar merayu Suruhanjaya Hak-hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu membantu membebaskan ayahnya, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa bapanya merupakan seorang tahanan politik dan tidak ada cara lain untuk mendapatkan keadilan.
"Ahli-ahli suruhanjaya ini mungkin menganggap saya mentah dan bermimpi kerana cuba mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan dalam negara saya sendiri. Hakikatnya, tiada lagi tempat lain untuk mengadu apabila kami tidak boleh mengharapkan keadilan daripada institusi-institusi negara yang sepatutnya melindungi hak kami," katanya.
"Wujud keperluan segera untuk membetulkan segala kesalahan yang dilemparkan ke atasnya dan mereka yang tidak bersalah yang dianiayai kerana hubungan mereka dengan bapa saya atau pembabitan mereka dalam perjuangan reformasi secara aman."
Beliau menambah, "sebagaimana yang diharap-harapkan oleh anak-anak dan keluarga tahanan politik di serata dunia, kami juga mahu bapa pulang ke rumah."
Suruhanjaya tersebut kini bersidang di Geneva untuk mendengar kes-kes pencabulan hak asasi manusia dari seluruh dunia. Ia mempunyai kuasa untuk meluluskan ketetapan berhubung isu-isu hak asasi manusia dan memberikan tekanan kepada kerajaan-kerajaan supaya menghormati norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.
Nurul Izzah yang berusia 19 tahun berucap di hadapan suruhanjaya tersebut berhubung isu-isu penyeksaan dalam tahanan, hak bersuara dan kebebasan kehakiman. Di hadapan para hadirin yang tekun mendengar, beliau menjelaskan bagaimana bapanya ditahan, diseksa dan diletakkan dalam tahanan kurungan, diaiban di khalayak ramai dan pernah menghadapi kemungkinan diracun.
Beliau menekankan bahawa harapan untuk melihat keadilan agak tipis. Bapanya, tambah Izzah, dinafikan ikat jamin tetapi orang yang telah didapati bersalah memukul bapanya masih bebas.
"Nampaknya keseluruhan sistem kehakiman di Malaysia sedang mengalami krisis yang buruk. Undang-undang telah disalahgunakan untuk menganiayai mereka yang tidak bersalah dan melindungi mereka yang mencabul hak-hak asasi manusia."
Setelah memberikan kenyataannya, Nurul Izzah turut menyampaikan mesej daripada Anwar kepada suruhanjaya tersebut.
"Sebagai seorang mangsa kezaliman, termasuk dibelasah oleh ketua polis negara, saya merayu kepada suruhanjaya ini agar meningkatkan usaha untuk membasmi pencabulan hak-hak asasi manusia di Malaysia dan di negara-negara lain," kata Anwar.
"Ketika kami melaungkan kemerdekaan dan kedaulatan negara kami lebih 40 tahun lalu, kami telah melafazkan keazaman terhadap prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan. Namun kini kami melihat sendiri bagaimana negara kami telah merosot sehingga menjadi sebuah negara polis dengan pemerintah kuku besi yang bongkak," tambahnya.

