Sebuah akhbar harian Tamil, Thinamurasu hari ini mendakwa Kementerian Dalam Negeri membenarkan akhbar itu beroperasi sementara menunggu permit itu diperolehi secara rasmi. Menurut sumber akhbar tersebut, pegawai kanan kementerian bahagian kawalan penerbitan, pernah memberikan keizinan secara lisan kepadanya beberapa bulan lalu.

Akhbar itu juga mendakwa permit penerbitannya tamat pada 31 Disember tahun lalu dan bukannya tahun 1998 seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian hari ini.

"Laporan (itu) tidak tepat kerana tarikh tamat permit pada 31 Disember 1999 lalu," kata seorang kakitangan akhbar itu yang tidak mahu dikenali kepada malaysiakini .

Akhbar Berita Harian melaporkan KDN mengarahkan Thinamurasu menghentikan operasi kerana "tidak memiliki permit sejak dua tahun lalu."

Arahan KDN itu dikeluarkan selepas sepasukan pegawai dari kementerian pada Rabu lalu menyerbu sebuah kilang yang mencetak akhbar itu.

Menurut laporan, dalam serbuan itu, kementerian tidak mengeluarkan sebarang notis tetapi hanya memberikan amaran supaya syarikat itu tidak menerbitkan lagi akhbar itu. Serbuan ke atas kilang yang "bersiap sedia mencetak edisi semalam" itu dibuat selepas kementerian "menerima laporan".

"Kita berjaya merampas 53 keping akhbar Tamil (itu) mengikut tarikh yang berbeza-beza, bagi tujuan siasatan KDN selanjutnya," kata pegawai penguatkuasaan filem dan percetakan, Mohd Naim Hashim, kepada malaysiakini hari ini.

Tambahnya lagi, akhbar itu pernah membuat permohonan permit awal tahun 1999 tetapi tidak diluluskan oleh KDN.

Apabila ditanya alasan penolakan kelulusan akhbar tersebut, beliau berkata perkara tersebut merupakan bidang kuasa pihak pengurusan atasan kementerian.

Bagaimanapun, sumber akhbar Tamil itu berkata penerbit Thinamurasu menghadapi masalah dengan rakan kongsi perniagaan dan menerima satu arahan (injunction) mahkamah pada September lalu dari isteri seorang tokoh perniagaan India yang terkenal.

Pengarang Urusan akhbar itu, Tamilmani @ Veerasamy, gagal dihubungi hari ini.

Thinamurasu yang diterbitkan sejak tujuh tahun lalu merupakan akhbar harian ketiga berbahasa Tamil selepas Tamil Nesan dan Nanban . Pada asalnya akhbar ini bersifat antiparti komponen kaum India yang utama, MIC dan kepemimpinan Datuk Seri S Samy Vellu.