Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan Pertahanan Awam pastikan anggotanya mengundi

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan memastikan kira-kira 640,000 anggota yang layak termasuk anggota sukarelanya di seluruh negara menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat

Malaysia dengan keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-13.

    

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPAM, Selamat Dahalan berkata pada ketika ini jabatan itu sudah mula memantau, mengenal pasti dan melihat senarai status setiap anggotanya dalam memastikan mereka menunaikan hak masing-masing.

    

"Kita juga perlu bantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pastikan anggota dan sukarela kita sendiri turun dan laksanakan tanggungjawab mereka dalam usaha menambah undian dalam kalangan sukarelawan ini.

    

"Mungkin orang politik, macam ketua bahagian dah panggil dah... Kita hanya bantu sahajalah untuk pastikan anggota kita tidak terkecuali dari berbuat demikian (mengundi)," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya semalam.

    

Ketika ditanya mengenai tugasan jabatan itu ketika berlangsungnya pilihan raya, Selamat berkata JPAM tidak meletakkan sesuatu jumlah anggota yang tetap untuk mengawal perjalanan pilihan raya namun ia membuka bilik gerakan di setiap daerah yang beroperasi 24 jam.

    

"Nak kawal semua tempat memang kita tak mampu. Cuma kita siap sedia letakkan anggota kita dalam jumlah yang ramai di kawasan yang 'panas' untuk bantu mengawal di pusat-pusat mengundi. Kita ada 12,000 anggota sukarela yang aktif (seluruh negara), yang boleh dikerah dalam masa sejam sekiranya terdapat sebarang kecemasan, bencana atau memberi bantuan dalam proses pilihan raya.

    

"Macam tempat yang panas pun, kita dah boleh ramalkan lebih awal sebab ada Cawangan Khas (SB) polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ada maklumat awal mengenai keadaan di sesebuah kawasan," katanya.

    

Pasukan penyelamat JPAM memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau harta benda penduduk awam sekiranya berlaku bencana serta memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana tersebut.  

    

JPAM terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri dan melaksanakan tugas di bawah Akta Pertahanan Awam 1951, akan menyambut ulang tahun ke-61 pada 24 Mac depan yang dirai setiap tahun dalam sambutan Hari Pertahanan Awam Malaysia.

    

- Bernama

ADS