Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiap badan bukan kerajaan (NGO) memerlukan anjakan paradigma supaya dapat bergerak dengan lebih proaktif dan meningkatkan penganjuran program yang selari dengan tuntutan masyarakat, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata persatuan wanita juga seharusnya berani merancang aktiviti yang lebih bersifat advokasi dalam memperjuangkan status kaum wanita.

"Pendek kata, mereka haruslah mencari 'niche' (bidang) tersendiri bagi memastikan misi yang diperjuangkan tidak bertindih dengan persatuan-persatuan yang lain. Apa yang penting, rakyat perlulah merasakan kehadiran puan-puan dalam hidup mereka.

"Berilah khidmat yang rakyat dapat rasai, dapat sentuhi dan dapat membawa makna kepada kehidupan mereka. Janganlah diturut resmi kiambang, sungguh pun hijau tapi akar tak jejak. Barulah ianya selaras dengan prinsip 'Rakyat Didahulukan'," katanya pada majlis ramah mesra 'Semekar Kasih Seharum Budi' bersama NGO wanita Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Rosmah di sini bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan kerja ke Negeri Sembilan. Turut hadir isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais.

Rosmah berkata Perdana Menteri kerap menyatakan bahawa wanita merupakan pemangkin perpaduan dan adalah rakan kongsi pintar kepada kerajaan dalam menjalankan proses transformasi negara.

Katanya wanita juga merupakan nadi penggerak dalam arus perdana kerajaan terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Kita seharusnya berasa bertuah kerana kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya amat prihatin terhadap usaha untuk memperkasakan wanita.

"Peranan wanita juga telah diarusperdanakan dalam konteks Rancangan Pembangunan Negara. Maknanya, bersamalah kita mensyukuri segala nikmat dan kemewahan yang telah dikecapi di bawah kepimpinan BN hari ini. Dari itu, tanggungjawab kita adalah untuk memastikan kepimpinan di bawah BN tetap kekal dan utuh.......insyaAllah," katanya.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyampaikan sumbangan kepada 40 orang wanita warga emas, masing-masing menerima RM200 dan kain batik.

- Bernama

ADS