Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: K'jaan Kedah tak terbabit pembalakan di Wang Perah

Pembersihan hutan Bukit Perangin dalam kompartmen tujuh di Wang Perah dalam daerah Kubang Pasu dilakukan oleh pemiliknya dan kerajaan negeri tidak terbabit, kata Menteri Besar Datuk Seri

Azizan Abdul Razak.

Katanya, tanah hutan simpan kekal itu seluas 142.76 hektar diberi hak milik kepada 40 orang pegawai kanan dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri (KCS) atau 3.569 hektar seorang pada 2010.

"Mereka membuat permohonan kepada kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) yang meluluskannya. Bagaimanapun kita dapati kawasan yang hendak diberikan tidak sesuai dan menggantikannya dengan kawasan dalam kompartmen tujuh di Wang Perah kerana ia bukan kawasan tadahan hujan.

"Pembersihan yang dibuat sehingga kawasan itu licin bukan tanggungjawab kerajaan negeri. Pengeluaran balak dilesenkan oleh Jabatan Perhutanan," kata Azizan pada sidang media di pejabatnya di Alor Setar, hari ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Ku Azmi Ku Aman yang turut hadir pada sidang media itu menjelaskan pembersihan kawasan tersebut dibenarkan mengikut undang-undang.

Beliau mengulas pendedahan oleh pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom dalam akhbar hari ini mengenai 'pembalakan rakus' di Wang Perah sejak awal tahun ini.

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kecewa kerana aktiviti pembalakan itu bakal menyebabkan Sungai Kecil, Sungai Badak dan Sungai Wang Perah tercemar dan menjejaskan alam sekitar selain tiada laporan kesan terhadap alam sekitar (EIA).

Azizan turut menafikan dakwaan Mohd Johari bahawa kerajaan telah meluluskan seluas 780 hektar lagi dalam kompartmen lapan untuk diberikan kepada KCS.

Katanya, walaupun undang-undang menghendaki laporan EIA dikemukakan bagi pembangunan hutan melebihi 50 hektar, dalam kes ini ia tidak penting kerana pemiliknya mungkin melaksanakannya serentak.

Menteri Besar itu yang ditanya mengenai pemberian tanah kepada kakitangan kerajaan negeri dari kalangan bukan pegawai berkata: "Mereka yang memohon akan dipertimbangkan kerana kita ada menyediakannya".

Azizan berkata seluas 300,000 hektar hutan telah diwartakan sebagai hutan simpan dan 90,000 lagi kawasan tadahan hujan termasuk 60,000 hektar yang diwartakan baru-baru ini.

"Kawasan yang diwartakan ini tidak boleh diganggu atau diambil balak. Sekarang inipun kawasan-kawasan yang dibalak tidak melebihi lima peratus," tambahnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata seluas 3,000 hektar kawasan hutan telah dikenalpasti di beberapa daerah untuk dianugerahkan kepada persatuan-persatuan Sekolah-Sekolah Cina, India dan Agama (Islam) untuk dibangunkan bagi menjana sumber pendapatan mereka.

-Bernama

ADS