Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 agar tidak

mengheret institusi itu dalam kempen mereka.

    

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR adalah badan bebas yang bertanggungjawab melaksanakan proses pilihan raya secara adil dengan memberikan layanan sama rata untuk parti politik dan juga pengundi.

    

"Kita mahukan pilihan raya yang adil dan bebas. Tapi janganlah kaitkan kita ketika sebelum dan sedang berkempen. Kita cuma pihak yang menguruskan pilihan raya dan bukannya bertanding," katanya kepada Bernama.

    

Wan Ahmad turut menegaskan parti politik tidak harus menjadikan urusan dalam pelaksanaan PRU sebagai bahan kempen dan perbuatan sedemikian amat tidak bertanggungjawab.

    

Katanya SPR telah melakukukan pelbagai penambahbaikan bagi memantap proses pilihan raya di negara ini seperti yang dituntut sesetengah pihak termasuk parti politik.

    

"Macam-macam mereka (parti politik) minta. Kita sudah wujud dakwat kekal seperti diminta, malah mereka minta reformasi undi pos dan kita ganti dengan undi awal. Dia minta akses pada media awam, kita bagi," katanya.

    

Wan Ahmad juga berkata SPR sentiasa membersihkan daftar pemilih secara berterusan berasaskan undang-undang dan peraturan dengan kerjasama Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

    

Mengenai tempoh berkempen, SPR akan membuat keputusan mengenainya dengan mengambil kira semua aspek seperti undi dari luar negara.

"Harus difahami, kertas undi luar negara akan dihantar oleh kedutaan dari seluruh dunia. Ia akan mengambil masa untuk sampai ke pegawai pengurus. Ini semua kita ambil kira," katanya.

- Bernama

ADS