Parti KeADILan Nasional hari ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam yang menuduh parti itu sedang merancang melakukan rusuhan dalam perhimpunan '14 Hitam' pada Sabtu ini.

"Kenyataan Mahathir semalam adalah tindakan seorang pemimpin yang gelabah dan takut dengan kebangkitan rakyat," kata Ketua Pemuda parti itu, Mohamad Ezam Mohd Nor kepada malaysiakini .

Beliau sebaliknya mencabar Dr Mahathir membuktikan tuduhannya itu. Perdana Menteri dilaporkan hari ini sebagai berkata parti pembangkang itu menyediakan bom molotov cocktail , senjata dan kayu untuk menyerang polis dan menimbulkan keadaan kacau-bilau.

"Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, saya tetap menolak sebarang unsur keganasan," kata Ezam. "Saya bercadang menemui polis untuk bekerjasama memastikan keganasan dapat dihindarkan."

Ezam yang melafazkan komitmennya untuk terus memimpin perhimpunan sempena setahun bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara mengingatkan penyokongnya agar tidak membawa sebarang kayu atau objek yang boleh ditafsirkan sebagai senjata, termasuklah kayu untuk tiang bendera.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar pula bimbang Dr Mahathir cuba mencetuskan keadaan tidak tenteram ketika perhimpunan itu.

"Kenyataan PM itu sangat membimbangkan kerana ada pihak tertentu (mungkin dari pihak PM sendiri) yang merancang agar perhimpunan aman itu bertukar perhimpunan yang ganas," katanya.

Mahfuz meminta pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap Dr Mahathir sendiri kerana mengeluarkan "kenyataan berbahaya" itu.

Beliau juga menyeru peserta-peserta perhimpunan supaya berhati-hati dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba mencetuskan rusuhan pada hari tersebut.

Sebuah pertubuhan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Perhimpunan aman adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan, perkara 10," kata Penyelarasnya, Justin Yong kepada malaysiakini .

Justin juga berkata kenyataan Mahathir itu seolah-olah memberi isyarat kepada pihak polis untuk bertindak terhadap para penyokong gerakan reformasi.

"Berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan rakyat hanya menjadi kecoh apabila polis bertindak keras memukul, mengejar dan menembak (air asid dengan menggunakan) water canon," katanya lagi.

Suaram juga menyifatkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Ali, yang melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan Sabtu ini sebagai bertentangan dengan kebebasan rakyat untuk bertindak dan menyuarakan pandangan.

Semalam, akhbar Sunday Star dan New Sunday Times memetik kenyataan ketua polis itu yang menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai haram kerana penganjurnya tidak memohon sebarang permit.