Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa supaya Jamalul Kiram III, dibicarakan di negara ini atas dakwaaan mengarahkan

pencerobohan bersenjata di Sabah.

    

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata walaupun kerajaan Filipina mungkin akan mengambil tindakan terhadap kumpulan penceroboh itu, namun tindakan juga perlu diambil terhadap dalang insiden itu.

    

"Bagi kita ini satu kesalahan di sisi undang-undang negara. Saya harap kerajaan akan dapat melakukannya dan kerajaan Filipina bersetuju (untuk mengektradisi) atas dasar rakan Asean.

    

"Dari segi politik, kita perlu tunjuk, sesiapa sahaja yang menjadi penceroboh perlu dibawa ke muka pengadilan. Pemuda Umno tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan negara," katanya.

    

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan Baucar Buku 1Malaysia di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di ibunegara.

    

Khairy juga menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik yang menuduh insiden pencerobohan itu sebagai sandiwara atau mempersoal tindakan yang diambil pasukan keselamatan negara dalam menangani kumpulan penceroboh itu.

    

Sejak isu pencerobohan kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 12 Februari lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Lahad Datu Jumaat lalu dan enam dalam serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna sehari kemudian.

    

Selasa lepas, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan pesawat pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan itu.

- Bernama

ADS