Tarian sewang masyarakat orang Asli yang mempunyai keunikan tersendiri akan dikembangkan untuk tontonan dan pendengaran umum.
Timbalan Pengarah Bahagian Program Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Siti Mohani Saad berkata masyarakat di kawasan bandar mungkin belum mengenali tarian sewang kerana belum pernah mengunjungi kawasan perkampungan Orang Asli.
"Kami akan siarkan kebudayaan tarian sewang itu kerana ia mempunyai nilai kebudayaan paling tinggi pada mata masyarakat umum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Program Rakaman Muzik Sewang Asyik FM di Pos Gob, di Gua Musang hari ini.
Siti Mohani berkata rakaman Asyik FM itu mengambil masa tiga hari berakhir hari ini kerana ingin mendekati kaum itu supaya mereka lebih bersedia mempersembahkan kebudayaan tarian sewang bagi memudahkan rakaman dilakukan.
Beliau mengakui muzik tarian sewang memang sukar diperoleh kerana tiada di pasaran walaupun ramai penduduk kota yang ternanti-nanti untuk mendegar muzik berkenaan yang jarang disiarkan menerusi radio atau televisyen.
Katanya dengan adanya rakaman itu, kebudayaan kaum itu tidak lagi terpinggir, malah akan menggalakkan lebih ramai warga kota untuk mengunjungi ke kawasan perkampungan Orang Asli bagi melihat dengan lebih dekat.
- Bernama
