Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taib kecewa aspirasi tingginya sukar difahami
Diterbitkan:  Mar 12, 2013 9:01 AM
Dikemaskini: Mar 13, 2013 12:08 AM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata adalah penting untuk pemimpin BN negeri mengenali cabaran yang dibawa oleh perubahan masa khususnya pemikiran

anak muda yang banyak terdedah kepada pengaruh luar.

Oleh itu, beliau berkata perubahan politik harus dan secara beransur-ansur melalui platform kepimpinan yang baik untuk membolehkan pemimpin masa kini menyampaikan idea mereka kepada pemimpin generasi muda dalam parti komponen BN.

"Sudah tiba masa untuk kita menyedari bahawa generasi muda perlu dimaklumkan mengenai apa yang mereka warisi daripada generasi sebelumnya supaya kemajuan boleh diteruskan daripada menerima bantahan tanpa sebarang tindakan konkrit.

"Kami dalam BN mampu menghalang sesetengah tahap bantahan...ia berbeza mengikut parti," katanya semasa menyampaikan siri ceramah awam yang pertama bertajuk 'Sarawak Melangkaui Hari Ini: Cabaran dan Peluang' di Kuching.

Siri ceramah awam iti dianjurkan bersama oleh Jabatan Penerangan Sarawak dan Yayasan Media Sarawak.

Abdul Taib berkata dengan kehidupan rakyat semakin makmur, pemikiran orang muda akan berubah kerana mereka lebih terbuka kepada pengaruh luar termasuk berkongsi pendapat awam dalam Internet, sama ada isu yang dibicarakan itu mempunyai kebenaran, separuh benar atau dusta.

Merujuk kepada kebangkitan rakyat di negara Arab (Arab Spring), Abdul Taib berkata perubahan politik tidak boleh dicapai dalam bentuk lengkap tetapi perlu melalui proses penggabungan idea baharu dan lama berdasarkan kemampuan dan keupayaan negara memperkenalkan program baharu untuk membawa perubahan ke peringkat pembangunan seterusnya.

Abdul Taib, yang memegang jawatan itu selama 32 tahun dan mendakwa mengenali secara dekat pelbagai kaum etnik di negeri itu, berkata beliau rasa kecewa apabila rakyat sukar memahami dah memberi maklum balas terhadap aspirasi tingginya.

"Tiada rahsia dalam hidup saya kerana kehidupan saya agak terbuka. Pemikiran saya adalah rahsia tetapi ia menjadi kenyataan menerusi dasar yang sedang dilaksanakan," katanya semasa menjawab ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sesi soal jawab.

Abdul Karim bertanya mengenai rahsia Abdul Taib mengharungi karier politiknya selama 50 tahun termasuk 32 tahun sebagai Ketua Menteri.

Abdul Taib berkata kekecewaan mula timbul apabila beliau mahu tanah hak adat pribumi (NCR) dibangunkan secara komersil tetapi disambut dingin oleh pemilik tanah kerana mereka tidak memahami konsep itu serta dipengaruhi oleh banyak propaganda bahawa kerajaan mahu merampas tanah mereka.

Beliau berkata adalah menjadi dasar kerajaan untuk membangunkan tanah NCR berjumlah 1.5 juta hektar di Sarawak dengan usaha sama 30:70 antara pemilik dengan syarikat perladangan kelapa sawit dan badan berkanun negeri berkaitan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS