Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang mengesan individu yang memperlekeh dan menghina tindakan pasukan keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Katanya, beliau mengeluarkan arahan untuk mengesan percakapan dan kenyataan tersebut di laman web dan media sosial.

NONE "Saya beri arahan supaya dikesan mereka yang keluar kenyataan yang menghina dan mencerca tindakan ahli pasukan kita khususnya yang telah terkorban dan tercedera.

"Jangan buat tindakan bodoh seperti ini... Saya minta hentikan, kita akan jejaki mereka. Kita akan ambil tindakan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ditanya mengenai bentuk tindakan yang boleh dikenakan ke atas individu berkenaan, Khalid berkata pasukannya boleh bertindak dalam banyak cara.

Bagaimanapun, pasukannya tidak boleh bertindak ke atas media di negara luar sekiranya melakukan perbuatan sama, katanya.

"Itu di luar bidang kuasa kita," katanya lagi.

Tak akan lepas Tian Chua

Ditanya mengenai siasatan ke atas naib presiden PKR Tian Chua yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa insiden pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara Umno, Khalid berkata polis akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.

Polis bagaimanapun tidak akan melepaskan MP Batu itu dengan mudah, tegasnya.

“Mana boleh lepas?,” katanya lagi ketika ditemui selepas sidang media di mes pegawai kanan polis Bukit Aman hari ini.

Sepasukan polis dari Johor semalam merekod keterangan Tian Chua selepas menerima ratusan laporan polis daripada individu dan NGO berhubung kenyataan yang disiarkan laman Keadilan Daily itu.

Polis turut merekod kenyataan dua orang wartawan organ PKR terbabit serta wartawan akhbar New Straits Times Press berhubung kes sama.

ADS