Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mahu golongan nelayan di negeri itu menyingkirkan tanggapan negatif terhadap program yang dilaksana kerajaan untuk mereka.

Katanya semua program itu adalah untuk menaik taraf kehidupan nelayan, namun matlamat tidak akan tercapai jika tidak mendapat sokongan golongan terbabit.

Anda mampu hidup selesa jika anda menyokong pelaksanaan program yang dilaksana kerajaan untuk anda, katanya ketika merasmikan restoran Samudera Curry House yang diusahakan Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), di Kangar malam tadi.

Pada masa yang sama beliau juga mahu golongan nelayan di negeri itu menghargai jasa pihak keselamatan terutama dalam memastikan keamanan di perairan Perlis yang terletak berdekatan negara jiran.

"Perairan kita sempit dan terlalu hampir dengan perairan sempadan. Kita perlu sama-sama menghargai keamanan di laut yang memberi sumber rezeki," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pelaris Jasni Hashim berkata dalam ucapannya, berkata restoran itu yang boleh menampung sehingga 500 pelanggan pada satu masa, beroperasi sejak 2010 dan merupakan simbol ekonomi Pelaris.

Selain restoran, Pelaris juga mewujudkan Pasar Nelayan di Simpang Tiga, Kangar yang beroperasi sejak 16 Februari lalu, katanya.

- Bernama