Pergerakan Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh hari ini mengedar kira-kira 100,000 risalah penerangan berhubung kerajaan BN kepada orang ramai di kawasan parlimen berkenaan.

Ketua Pemudanya Mohd Zaidi Mohd Said berkata usaha itu adalah sebahagian daripada gerak gempur pihaknya bagi memberi penjelasan kepada penduduk tentang apa yang telah dilakukan kerajaan dan kelebihan BN berbanding pembangkang.

"Hari ini seramai 1,000 sukarelawan yang terdiri daripada Pemuda dan Wanita Umno Permatang Pauh hadir bagi mengedar 100,000 risalah kepada penduduk.

"Pelbagai maklumat antaranya berkaitan usaha kerajaan BN membantu rakyat seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), apa yang telah dan akan dilakukan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan isu-isu semasa disebarkan agar penduduk faham perkara sebenar," katanya kepada pemberita.

Program '100,000 Gempur Permatang Pauh' itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir. Turut hadir Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Mohd Zaidi berkata program itu juga merupakan isyarat kepada Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang bahawa Umno akan memberikan tentangan hebat kepadanya.

Katanya pihaknya juga telah memasuki kubu kuat Anwar di kawasan parlimen itu dan mendapat maklum balas positif daripada pengundi.

"Saya nak beritahu Anwar, Umno terutama Pemuda akan menggempur habis-habisan dan memberikan tentangan kepadanya pada pilihan raya umum nanti. Kami juga akan pastikan dia tidak memperoleh keputusan yang mudah untuk menang kerana jentera BN telah bekerja keras sejak beberapa tahun lepas bagi merampas kembali kerusi parlimen ini," katanya.

Mohd Zaidi berkata golongan muda di kawasan parlimen berkenaan mula memberikan sokongan kepada BN ekoran sambutan hebat kepada program yang diadakan.

"Seramai 24,000 daripada lebih 70,000 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Permatang Pauh adalah golongan muda dan saya percaya sokongan daripada mereka yang semakin meningkat terhadap Umno serta BN sekarang ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi jumlah undian untuk kita," katanya.

Abdul Jalil turut yakin Umno akan merampas kembali kerusi Parlimen Permatang

Pauh dan kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dan Penanti serta

mempertahankan kerusi Seberang Jaya.

"Saya bagi contoh di Permatang Pasir, dulu (pilihan raya lepas) 80 peratus pengundi sokong mereka (pembangkang) tetapi berdasarkan maklum balas baru-baru ini, lebih 50 peratus telah sokong BN dan kita kena kerja keras sikit lagi untuk tarik mereka," katanya.

- Bernama