Naib pengerusi strategik MIC, Datuk R Ramanan berkata semangat patriotisme dan simpati yang ditunjukkan rakyat Malaysia ekoran kejadian pencerobohan di Lahad Datu mungkin menguntungkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Ramanan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, tindakan kerajaan dalam isu keselamatan berkenaan akan meyakinkan rakyat bahawa pihak yang mampu menjamin perkara itu adalah BN.

"Sesuatu yang kelihatan muncul dari isu pencerobohan Lahad Datu ini adalah bersemaraknya semangat nasionalisme dan patriotisme rakyat dari pelbagai kaum dan wilayah untuk bersatu.

"Dan ia semakin tebal apabila wujudnya simpati yang bertali arus terhadap sepuluh pahlawan dan wira-wira negara yang gugur di medan pertempuran baru-baru ini," katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

"Dengan langkah kerajaan sedia ada menguatkuasakan kawalan keselamatan di perairan Sabah, sekaligus ini dapat menguatkan keyakinan rakyat kepada pemerintah sedia ada dan maka itu kalau ada pilihan untuk menjamin semua ini, parti itu adalah BN," katanya dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyelar mantan panglima angkatan tentera darat Tan Sri Md Hashim Hussein – yang disifatkannya sebagai 'kacang lupakan kulit' – kerana mengkritik cara kerajaan menangani penceroboh di Lahad Datu.

Ahmad Zahid yang dipetik dalam satu lagi laporan akhbar milik Umno itu berkata, Md Hashim Hussein yang baru menyertai PKR baru-baru ini hanya gah bercakap di pentas pembangkang.

Walhal, Md Hashim sendiri tidak pengalaman berhadapan pengganas Sulu, katanya.

"Jangan hanya gah bercakap kalau dia sendiri tiada pengalaman berdepan dengan pengganas Sulu ini. Mereka sudah 40 tahun berperang dengan tentera Filipina serta cukup terlatih dalam perang gerila.

"Md Hashim ini tiada pengalaman berdepan dengan pengganas Sulu," katanya seperti dipetik dalam laporan hari ini.

Beliau dilaporkan Mingguan Malaysia sebagai berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Md Hashim dalam ceramahnya di Taman Serai Perdana, Bagan Serai malam tadi.

Laporan sama turut menyebut dakwaan bahawa Md Hashim menyifatkan kegagalan pasukan keselamatan mengesan kemasukan pengganas Sulu sebagai "sesuatu yang bodoh".

Menurut laporan itu, Md Hashim mempersoalkan tindakan kerajaan mengarahkan begitu ramai anggota polis dan tentera untuk melawan pengganas Sulu.

Md Hashim juga dalam laporan itu didakwa menyebut, pengganas Sulu hanya "beberapa kerat sahaja dan mendakwa kekuatan dua markas sebenarnya sudah mencukupi".