NUJ kutuk ancaman polis pada wartawan
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mengutuk tindakan polis yang mengancam untuk menahan seorang wartawan kerana enggan mendedahkan sumber laporannya.
Presiden NUJ Chin Sung Chew berkata, seorang wartawan akhbar The Star dipanggil ke Bukit Aman semalam berhubung satu laporan yang disiarkan pada Oktober berhubung penahanan dua orang rakyat Malaysia di Lubnan, disyaki mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.
Beliau dilaporkan diancam dengan tindakan penahanan kerana enggan mendedahkan sumbernya berhubung laporan tersebut.
“Tidak wajar bagi polis untuk meminta wartawan mendedahkan sumbernya untuk siasatan,” kata Chin dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, wartawan mendapat keistimewaan untuk menegakkan prinsip melindungi sumber berkenaan untuk melindungi identiti sumber tersebut, terutamanya dalam laporan kontroversi.
“Ia sama dengan melindungi saksi untuk sesuatu jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

