Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Firma penyelidikan: Inflasi naik kepada 2.5% tahun ini

Kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.5 peratus tahun ini, kata beberapa firma penyelidikan.

Alliance Research berkata pemulihan dalam harga komoditi bersama dengan program perasionalan subsidi dan tekanan didorong permintaan yang lebih tinggi pada penghujung tahun akan menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih tinggi.

Dalam satu laporan fokus ekonomi tentang inflasi, firma penyelidikan itu berkata pada sebahagian besar tahun lepas, kadar inflasi Malaysia kekal kukuh atau pada kadar sederhana sejajar dengan harga komoditi global.

"Kami percaya kadar inflasi akan terus meningkat tahun ini, terutamanya pada setengah kedua tahun ini.

"Ini berikutan jangkaan pemulihan pada beberapa komoditi terpilih dan menurut program perasionalan subsidi yang dijangka akan berterusan selepas pilihan raya umum 2013," katanya.

Bagaimanapun, RHB Research berkata inflasi yang lebih tinggi akan terus kekal dan tidak dijangka mengancam ekonomi.

"Kami mengunjurkan inflasi untuk meningkat lebih tinggi kepada kira-kira 2.5 peratus pada 2013 daripada 1.6 peratus tahun lepas," katanya.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), RHD Research percaya bank pusat itu akan mengekalkan kadar tidak berubah pada tiga peratus tahun ini.

"Risiko kepada OPR, bagaimanapun, cenderung kepada meningkat, jika pemulihan ekonomi global adalah lebih kukuh daripada jangkaan," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Alliance Research berkata Bank Negara Malaysia mempunyai lebih banyak ruang untuk mengekalkan OPR pada paras akomodatif, melihat kepada paras risiko inflasi kepada pemulihan yang rendah.

"Kami mengekalkan pandangan kami bahawa OPR akan kekal tidak berubah pada tiga peratus pada 2013, memastikan pegangan dasar monetari yang akomodatif dan kestabilan harga dalam ekonomi domestik," tambahnya.

-Bernama

ADS